05 Oktober 2012

Pas Kedah sedia gempur Stadium Bukit Jalil 3 Nov


19 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Pas Kedah bersedia menggerakkan seramai 50,000 ahli parti pelbagai peringkat untuk bersama menuntut pilihan raya yang bersih, di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 3 November depan.

Setiausahanya, Musoddak Ahmad berkata, program yang dirancang Pakatan Rakyat (PR) itu adalah sebagai menyahut seruan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu dalam usaha PR menuntut pilihan raya yang adil ekoran usaha tuntutan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 3.0) masih gagal dilaksana.

“Selepas perhimpunan Bersih 3.0, kita masih tidak nampak usaha yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pas Kedah akan berusaha menghimpunkan seramai ahli yang boleh untuk sama-sama menuntut beberapa perkara yang masih tidak diendahkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan membentuk satu Jawatankuasa Khas Mobilisasi Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Negeri Kedah bagi mengemudi pergerakan ahli ke himpunan tersebut.

“Kesemua ahli yang akan ke himpunan itu akan berkumpul di satu tempat yang bakal dimaklumkan kelak dan bergerak secara konvoi ke lokasi program pada 2 November,” katanya.

Musoddak berkata, beberapa program turut diatur dalam masa terdekat bagi memobilasi dan menyampaikan maklumat berkenaan himpunan itu kepada ahli Pas di seluruh Kedah.

“Saya mengalu-alukan penyertaan ahli parti, dan saya berkeyakinan ahli Pas Kedah akan memberi komitmen tinggi untuk menyertai himpunan itu,” katanya.

Dianggarkan sejuta orang akan hadir dengan tema pakaian berwarna kuning.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: