24 Oktober 2012

Salam Haji dan salam Eduladha

8  Zulhijjah 1433H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Pada saat jemaah haji berjuang untuk mencapai haji mabrur umat Islam di Malaysia dan lain-lain negara membuat persiapan untuk menyambut hari raya Eduladha dan ibadah qurban. Tetapi pada saat jemaah haji membanyakkan ibadah sunat di tanah haram umat Islam di tanah halal leka dengan kerja harian yang kadang-kadang sia-sia.

Pada waktu ini sebahagian Jemaah berada di Madinah dan sebahagian lagi sudah sampai ke Masjidilharam. Beruntunglah mereka yang berniat haji tamattu’ kerena berpeluang untuk membuat umrah sebanyak mungkin sebelum tiba 9 zulhijrah. Peluang ini juga digunakan sebaiknya untuk beriktikaf, membaca al-Quran dan solat sunat kerana peluang ke tanah haram ini amat terhad apatah lagi bagi orang miskin.
Walau bagaimanapun mereka yang berniat haji ifrad dan qiran walaupun tidak dapat melakukan umrah mereka masih berpeluang untuk melakukan iktikaf, solat sunat, bacaan al-Quran dan sebagainya. Maknanya peluang mereka adalah sama di Tanah Haram ini. Cuma dalam keghairahan itu kita bimbang tentang keceluparan mulut mereka sewaktu bercakap sesama mereka.
Alangkah ruginya kalau peluang ini mulut tidak dijaga dengan baik sehingga tercetus aktiviti mengumpat dan mengeji orang lain. Adakah patut wang yang  dikumpul sejak bernilai RM10 hingga mencapai RM11 000 tetapi semuanya habis hanya dalam tempoh 44 hari di Tanah Haram tanpa pahala yang diperoleh. Bukankah banyak tenaga diperlukan dan berapa banyak masa dikorbankan untuk mendapatkan wang itu? Tetapi mengapa pahala yang ditawarkan kepada mereka diabaikan.
Atas pengalaman itu, adalah diharapkan bakal jemaah haji terutama yang sedang berada di Tanah Haram sekarang supaya memberi tumpuan kepada urusan ibadah haji dan segala ibadah dan amalan yang berkaitan demi mendapat haji mabrur. Ingatlah Allah tidak mudah menghadiahkan haji mabrur ini hanya kerana melaksanakan rukun dan wajib haji, tetapi akan nilai ibadah lain yang sanggup direbut sewaktu di Tahan Haram.
Selain itu kalau ada lebihan wang, peruntukkan sedikit untuk sedekah kepada fakir miskin dan juga ibadah korban. Ketahuilah sebarang ibadah yang dilakukan di Tanah Haram besar ganjarannya. Jadi peluang ini tidak harus dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Bagi umat islam terutama sanak saudara yang berada di tanah air harus ambil kesempatan itu untuk sama-sama berdoa kepada Allah agar semua Jemaah haji beroleh haji mabrur. Semoga doa itu juga dinilai sebagai ibadah dan kebajikan. Selain doa, kita boleh juga berikan jemaah haji kegembiraan dengan memberi hadiah yang berupa wang tunai sebagai ucapan tahniah kepadanya.
Sebenarnya budaya memberi sedekah kepada jemaah haji yang hendak berangkat ke Tanah Suci ini tidak wajar diteruskan. Hal ini kerana jemaah haji sudah cukup keperluannya dan kerana itu mereka sudah tidak layak menerima sedekah. Oleh sebab itu budaya ini perlu diubah kepada pemberian hadiah berserta ucapan tahniah dan doa. Inilah amalan yang paling tepat buat mereka. Selamat beribadah dan berkorban.


Tiada ulasan: