25 Oktober 2012

Rumah: Dakwaan Donald Lim tidak berdasarkan fakta

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad berpandangan dakwaan Datuk Donald Lim tidak berdasarkan fakta, tidak cermat, mengelirukan dan tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang timbalan menteri.

Ini ekoran Donald Lim selaku Timbalan Menteri Kewangan yang juga Pengerusi MCA Negeri Selangor telah mendakwa di lobi Parlimen pada 22 Oktober lepas bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak membina rumah mampu milik.

Menurut Iskandar, rakyat sedia maklum akan projek-projek perumahan rumah mampu milik yang dibina di Negeri Selangor sama ada oleh kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri atau pemaju-pemaju swasta.

Katanya, kerajaan negeri sedia ada telah menggalakan pemaju-pemaju membina rumah mampu milik di kawasan-kawasan yang tidak sesuai untuk dibina rumah kos rendah atau di mana tidak ada permintaan untuk rumah kos rendah.

“Beberapa siri lawatan telah turut saya lakukan untuk projek-projek tersebut malah harga  jualan rumah mampu milik di Selangor adalah di antara RM85,000 hingga RM150,000 iaitu jauh lebih rendah dari projek rumah mampu milik kerajaan Persekutuan, Prisma yang dijual sehingga RM300,000.

“Walau bagaimanapun saya hanya akan mengumumkan senarai projek-projek rumah mampu milik yang sedang dibina dan yang telah diluluskan pada 1 November 2012 untuk memberi peluang kepada Datuk Donald untuk menarik balik dakwaan beliau,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan jika Donald Lim gagal, maka tidak ada pilihan lain selain daripada meletakkan jawatan.

harakah/-

Tiada ulasan: