25 Oktober 2012

Jambatan Belukar: Rakyat dinafikan hak pembangunan

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan beberapa kelemahan ketara kerajaan negeri Sarawak di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Sarawak, kami merasa kesal dan kecewa atas kelemahan-kelemahan yang seharusnya dapat dielakkan.

Antara kelemahan kerajaan negeri yang harus diambil perhatian serius ialah kelewatan projek pembangunan kemudahan asas, kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek di bawah peruntukan yang disediakan, kelemahan ketara dalam bantuan kebajikan kepada rakyat miskin dan kelemahan pentadbiran jabatan-jabatan kerajaan negeri.

Saya mengambil contoh kegagalan kerajaan negeri menjalankan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia ke-9. Peruntukan khas RM1 billion gagal dibelanjakan oleh kerajaan negeri dengan baik, sedangkan peruntukan ini berbentuk ‘once off’ dan tiada projek sambungan dalam Rancangan Malaysia ke 10.

Daripada 31 projek pembangunan yang diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia ke-9, hanya 14 projek yang telah dijalankan (45.2%) setakat 31 Disember 2010, manakala 17 lagi projek gagal disiapkan. Hanya RM271.07 juta dibelanjakan, (46.3%) oleh kerajaan negeri. Ini bermaksud, rakyat Sarawak terlepas peluang menikmati pembangunan bernilai RM314.39 juta. Nilai pembangunan ini tidak lagi dapat diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Rakyat Sarawak dinafikan hak pembangunan disebabkan kelemahan kerajaan negeri dalam menguruskan projek pembangunan di negeri ini. Harus dinyatakan di sini, kebanyakan projek di bawah peruntukan khas ini ialah projek jalan raya dan jambatan, yang merupakan antara infrastruktur paling asas sebuah negeri membangun.

Saya juga kesal dengan pendedahan Jambatan Batang Strap, Seri Aman yang dibina ‘ke belukar’ tanpa jalan raya yang menyambungkannya. Ini suatu kelucuan dan pembaziran wang rakyat sebanyak RM20 juta. Dewan Pemuda PAS Sarawak menggesa kerajaan negeri untuk mengambil langkah serius dalam pengurusan projek pembangunan, dan tidak hanya melepaskan batuk di tangga.

Saya juga ingin menyatakan kebimbangan dengan penemuan audit mengenai bantuan rakyat miskin. Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak mempunyai data yang lengkap mengenai jumlah sebenar rakyat miskin di negeri ini.

Bantuan yang diberikan sejak 10 tahun dahulu tidak dikaji semula, walaupun peningkatan sara hidup yang ketara. Bantuan ini sepatutnya menjadi fokus utama kerajaan negeri memandangkan masih ramai rakyat Sarawak yang hidup dalam kemiskinan terutama daripada golongan kurang upaya dan golongan emas.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, kami mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih proaktif, dengan mengumpul sebanyak mungkin data daripada NGO-NGO, sukarelawan dan parti-parti politik yang terlibat secara langsung dengan masalah rakyat. Dewan Pemuda PAS Sarawak sendiri, mempunyai banyak pengalaman membantu rakyat miskin di seluruh Sarawak dan kami tiada masalah untuk berkongsi maklumat dengan JKM.

Pengurusan Jabatan-jabatan kerajaan juga masih boleh dipertingkatkan. Paling mengejutkan, pendedahan mengenai Jabatan Muzium negeri yang masih kekurangan infrastrukur asas, hingga menyebabkan artifak-artifak berharga bakal musnah.

Kelemahan-kelemahan asas lain seperti pengurusan kontrak, pengurusan projek dan kewangan Jabatan-jabatan kerajaan perlu diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan negeri. Ambillah contoh kerajaan negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor dan Kelantan yang mendapat pujian daripada Ketua Audit Negara atas kecekapan pengurusan mereka.

Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Sarawak, saya menggesa langkah pembaikan yang bersungguh-sungguh daripada pihak kerajaan dan mengambil serius saranan Laporan Ketua Audit Negara ini.

Penulis ialah Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak.

Tiada ulasan: