25 Oktober 2012

Pendedahan mahkamah mengenai kekayaan anak Taib Mahmud perlu disiasat

9 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 Okt: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat kemewahan Tan Sri Taib Mahmud ekoran pendedahan anak lelaki Ketua Menteri Sarawak itu berbelanja tiga suka juta ringgit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak, Voon Shiak Ni, berkata perbelanjaan mewah Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menggunakan kad caj itu dikhuatiri hasil kemewahan luar biasa keluarga Taib Mahmud melalui rasuah dan penyelewengan kuasa.

Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau berkata, banyak laporan sudah dibuat rakyat negeri itu tetapi SPRM sehingga kini  enggan menyiasat, malah berdolak-dalik.

“Keengganan SPRM menyiasat kekayaan luar biasa Taib juga memberi petanda ketua menteri paling lama di Bumi Kenyalang itu mengamal rasuah dan salah guna kuasa.

“Lebih 30 tahun memerintah, kekayaan negeri hanya dibolot keluarga dan kroni. Majoriti rakyat Sarawak kekal miskin, malah antara termiskin di Malaysia,” katanya.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam diberitahu bil terperinci dari kad caj Platinum American Express mendedahkan perbelanjaan itu dibuat di kedai mewah seperti Harrods dan kedai Ferrari di London dan perjalanan ke Dusseldorf di Jerman serta ke Perancis.

Penyata dari Januari hingga Jun tahun ini bagi kad caj American Express dari Maybank, pula menunjukkan perbelanjaan RM782,520.55 dikemukakan di mahkamah.
Ia juga mendedahkan bahawa Bekir mempunyai RM5 juta dalam akaun CIMB dan RM3 juta lagi deposit tetap dengan bank berkenaan.

Ini didedahkan bekas isteri Bekir, Shahnaz A Majid, 49, ketika memberi keterangan di mahkamah berhubung dokumen perbankan itu, dalam tuntutan RM400 juta sebagai harta sepencarian dan hibah.

Pada 2 Oktober lalu, Shahnaz memberi keterangan mengenai kira-kira RM700 juta dalam akaun asing atas nama Bekir di Amerika Syarikat, negara Caribbean, Switzerland dan Hong Kong.
Mengikut keterangan Shahnaz, Bekir dikatakan bernilai lebih RM1 bilion.

 keadilandaily

Tiada ulasan: