17 Oktober 2012

Saya patut diberi ganjaran bukan dihukum - Karadzic

1 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

THE HAGUE: Bekas Pemimpin perang Serbia Bosnia, Radovan Karadzic memberitahu mahkamah perang Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu bahawa dia harus diberi ganjaran untuk "mengurangkan penderitaan", bukannya dituduh menjalankan jenayah perang.
(Wajah orang yang didakwa pembunuh beramai-ramai rakyat Bosnia, Karadzic)

Muncul pada hari pertama untuk mempertahankan diri beliau di The Hague Selasa lalu, Karadzic memberitahu para hakim bahawa dia tidak bersalah dan adalah seorang "manusia bertoleransi" yang cuba mendapatkan keamanan di Bosnia semasa perang 1992-1995.

Karadzic, 67, menghadapi 10 tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa peperangan pada tahun 1990-an, termasuk pembunuhan beramai-ramai Srebrenica dan pengepungan Sarajevo.

Beliau telah ditangkap di Belgrade pada 2008, selepas menghabiskan 13 tahun dalam pelarian.

Karadzic memulakan kenyataan peribadinya selama empat jam dengan menyatakan beliau telah melakukan "segala-galanya dalam bidang kuasa manusia untuk mengelakkan peperangan dan mengurangkan penderitaan manusia".

"Saya seorang lelaki yang sederhana dan bertolak ansur," Karadzic memberitahu hakim-hakim di International Criminal Tribunal for the former Yugoslavia (ICTY), sambil menambah bahawa beliau "mempunyai kapasiti yang besar untuk memahami pihak lain.

"Saya, ataupun sesiapa sahaja yang saya tahu, tidak pernah terfikir akan ada satu pembunuhan beramai-ramai terhadap mereka yang bukan berwarganegara Serbia," katanya kepada mahkamah sambil diperhatikan isteri dan saudara-mara mangsa pembunuhan beramai-ramai dari galeri.

harakah/-

Tiada ulasan: