05 November 2012

10 individu ditipu syarikat jualan langsung

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

10 individu ditipu syarikat jualan langsung
Kulasegaran (tiga, kanan) bersama pelabur sebuah syarikat jualan langsung produk kesihatan berasaskan air laut dalam di perkarangan IPD Ipoh, semalam.
 
IPOH - Sekumpulan 10 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat jualan langsung di sini, apabila pelaburan yang dibuat tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan.

Difahamkan, ratusan pelabur sudah melaburkan wang membabitkan kerugian hampir mencecah RM2 juta kepada syarikat yang didakwa menjalankan penjualan produk kesihatan berasaskan air laut dalam (deep sea water).

Mangsa, S Kesavan, 23, berkata, dia terpengaruh dengan ejen syarikat tersebut yang menjanjikan pulangan mewah jika membuat pelaburan ke atas produk kesihatan tersebut.

Menurutnya, selepas berfikir panjang, akhirnya dia mengambil keputusan untuk membayar RM32,850 kepada ejen terbabit.

“Ejen terbabit turut berjanji akan memulangkan semula wang kami dalam tempoh enam bulan seperti yang ditetapkan dalam perjanjian jika produk yang dipesan tidak diterima mengikut tempoh ditetapkan.

“Walaupun kami sudah membuat tuntutan bertulis ke atas syarikat itu supaya memulangkan semula wang kami, namun hingga kini tiada jawapan malah ejen yang berurusan juga lesap,” katanya ketika ditemui semalam.

Kesavan berkata, pihak syarikat juga tidak mengeluarkan invois mengikut nama sebenar tetapi hanya menggunakan singkatan.

“Akibatnya ramai pelabur mengalami kerugian puluhan ribu ringgit kerana terpedaya dengan janji manis ejen terbabit,” katanya.

Berikutan itu, 10 individu terbabit membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, peguam mereka, M Kulasegaran berkata, pihaknya akan membantu dari segi khidmat guaman dan cuba mendapatkan semula wang yang ditipu oleh syarikat berkenaan.

Katanya, kebanyakan pelabur terdiri daripada golongan bawahan dan pertengahan yang sanggup melaburkan wang untuk mendapat keuntungan yang dijanjikan.

“Mereka yang membuat pelaburan sanggup gadai tanah, rumah, barang kemas, membuat pinjaman wang semata-mata untuk mendapat modal.

“Oleh itu, saya menasihati orang ramai supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang syarikat yang menawarkan skim pelaburan,” katanya.

Kulasegaran turut menasihatkan orang ramai supaya memilih institusi kewangan yang diiktiraf  oleh Bank Negara Malaysia (BNM) jika mereka benar-benar ingin membuat pelaburan secara sah.

sinar/-

Tiada ulasan: