05 November 2012

Pemandu teksi mati dikelar

20 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Pemandu teksi mati dikelar
 
Polis forensik sedang mengumpulkan bukti untuk menjalankan siasatan. - Foto Ihsan Sin Chew Daily
KUALA LUMPUR -  Seorang pemandu teksi ditemui mati dalam keadaan lehernya dikelar di tempat duduk pemandu kenderaannya di Jalan Tun H.S Lee, awal pagi kelmarin.

Kejadian disedari orang awam kira-kira jam 12.44 pagi selepas mendapati kenderaan tersebut dalam keadaan berasap.

Mayat lelaki berusia 26 tahun ditemui dengan keadaan mulutnya disumbat dengan kain dan kesan terbakar di tangan kiri mangsa dipercayai berpunca daripada baju mangsa dibakar penjenayah.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan kelar di leher, tikaman di  dada dan belakang mangsa.

“Pemeriksaan awal tidak menemui senjata digunakan penjenayah dan semua pengenalan diri, dompet dan telefon bimbit tiada bersama mangsa.

“Siasatan mendapati teksi didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang,” katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis berdekatan tempat kejadian untuk mengesan suspek.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurutnya, motif kejadian masih belum diketahui dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

sinar/-

Tiada ulasan: