02 November 2012

AES: BN makin lemah dan nyanyuk, perlu ditukar

17 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PRU13 adalah pilihan terbaik buat rakyat menukar daripada kepimpinan tua BN yang terbukti gagal dan lemah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi harapan rakyat.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, ini kerana projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sudah menjadi polemik dan bahan cemuhan rakyat.

Kali ini, ujarnya bukan setakat Pakatan Rakyat yang menentang, tetapi ia juga ditentang oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Semakin banyak suara yang bangkit menentang pelaksanaannya, kerana merasakan ia tidak wajar dibuat buat waktu ini.

“Paling tidak ada yang mendesak menangguhkan pelaksanaannya supaya ianya benar-benar difahami oleh segenap lapisan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, AES nampak seperti cantik pada nawaitu tindakannya, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, juga untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Namun, katanya ramai tidak berpuas hati dengan kaedah saman yang dilaksanakan terhadap pesalah jalan raya melalui kamera yang dipasang di tepi jalan raya.

“Timbul pula curiga bahawa pelaksanaan AES ini hanya untuk menguntungkan syarikat pengendalinya yang bakal mendapat habuan RM16 daripada setiap saman yang dikeluarkan," ujarnya.

Katanya, penolakan projek AES merupakan suatu tamparan hebat buat pemimpin BN dan AES menjadi suatu beban yang tertanggung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya kepada Menteri Pengakutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Malah, ujarnya sudah ada suatu desakan yang meminta Menteri Pengangkutan tersebut meletakkan jawatan sekiranya projek ini benar-benar ditentang dan ditolak di Parlimen kelak.

“Apakah projek ini juga menjadi suatu mesej tersirat bahawa kepemimpinan Perdana Menteri turut tercabar?” soalnya.

Beliau berkata, ramai menganggap sikap terburu-buru kerajaan dalam mengengahkan sesuatu dasar itu tanpa berfikir panjang serta meminta pandangan rakyat akhirnya memakan diri.

Menurutnya lagi, sudah acap kali keputusan besar kerajaan dibantah oleh rakyat sehingga akhirnya ianya terpaksa ditarik balik setelah mendapat bantahan awam.

Soalnya, kata beliau mengapa kerajaan tidak membuat kajian terlebih dahulu atau mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan.

“Mengapa terlalu mudah kerajaan membuat sesuatu keputusan sebelum ianya diperhalusi dari segenap sudut?” katanya

Nampaknya, ujar Riduan AES akan menjadi satu lagi projek gagal kerajaan BN, ibarat orang tua yang semakin lemah dan nyanyuk, kerap kali tindakannya tersasar kerana lemahnya akal pemikiran serta daya ingatannya.

Justeru, tegasnya negara perlu diselamatkan segera dari pelbagai dasar gagal kerajaan BN.

harakah/-

Tiada ulasan: