02 November 2012

Taufan Nilam landa selatan India

17 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Taufan Nilam
Seorang anak kapal tangki minyak Pratibha Cauvery dilaporkan mati lemas selepas bot penyelamat mereka karam di pantai Chennai, kelmarin. Foto: AP
 
CHENNAI - Sekurang-kurangnya sembilan terkorban dan kira-kira 150,000 penduduk terpaksa dipindahkan, kelmarin, selepas Taufan Nilam membawa angin kencang berkelajuan 100 kilometer sejam melanda selatan India.

Media melaporkan pihak berkuasa melakukan operasi mencari dan menyelamat enam anak kapal tangki minyak yang dilaporkan hilang selepas bot penyelamat mereka karam.

Pegawai pengurusan bencana, Jayraman berkata, beberapa kawasan dataran rendah, termasuk Tamil Nadu dan Andhra Pradesh juga ditenggelami banjir berikutan hujan berterusan di kawasan itu.

"Kami sudah menyalurkan bantuan makanan dan minuman kepada penduduk yang dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Bekalan kuasa elektrik semua daerah juga dipulihkan," katanya.

Difahamkan, sebanyak 282 sekolah dijadikan pusat penempatan sementara.

Taufan terakhir yang membadai tenggara negara tersebut, pada Januari lalu turut meragut 42 nyawa dan menyebabkan kemusnahan teruk di Tamil Nadu. - AFP

Tiada ulasan: