21 November 2012

Erdoğan bidas PBB, dakwa Israel bersih etnik

7 Muharram 1433H. [MOD] -


Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan telah membidas Israel, mendakwa bahawa negara tersebut sedang melakukan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin dengan melakukan serangan udara terhadap Gaza yang telah mengakibatkan lebih daripada 100 orang, kebanyakannya orang awam, terkorban.

Erdoğan, yang berucap kepada timbalan-timbalan beliau dalam satu mesyuarat kumpulan parlimen Selasa lalu, berkata Israel menjejaskan keamanan dan undang-undang antarabangsa di rantau ini dan melakukan pembersihan etnik.

"Israel menjajah tanah Palestin langkah demi langkah," ujar Erdoğan, sambil menambah bahawa Israel melakukan keganasan di Timur Tengah.

Pertempuran selama seminggu tersebut telah meragut sebanyak 113 nyawa  rakyat Palestin, termasuk 54 orang awam. Operasi tersebut adalah respons kepada Hamas yang menyerang bandar-bandar Israel dengan roket. Serangan roket Hamas adalah respons kepada serangan Israel yang membunuh ketua tentera Hamas.

Israel, Amerika Syarikat dan kuasa-kuasa Barat menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas dan telah meminta Hamas untuk menamatkan serangan roket terhadap Israel, sambil menekankan hak Israel untuk mempertahankan diri.

"Tiada negara di Barat yang boleh mendakwa bahawa Israel hanya mempertahankan diri," Erdoğan berkata dalam satu ucapan yang bersemangat, sambil menambah bahawa jumlah tindakan Israel menyebabkan keganasan di Timur Tengah.

Beliau menyifatkan keeggganan Hamas untuk tidak bekerjasama sebagai sah dan menyifatkan Israel melakukan "penjajahan dan pembersihan etnik."

Erdoğan turut membidas Majlis Keselamatan PBB yang gagal untuk mencadangkan apa-apa penyelesaian bagi konflik Gaza yang semakin meruncing.

Majlis Keselamatan mengadakan rundingan tertutup Isnin lalu, tetapi diplomat berkata penghalang mesyuarat itu adalah teks tidak menyebut serangan peluru berpandu Hamas ke atas Israel. Israel berkata serangan tersebut yang mendorong serangan besar terhadap pejuang di Gaza.

Satu resolusi diluluskan apabila ia menerima sembilan undi memihak dan tiada undi veto oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan - Rusia, China, Britain, Amerika Syarikat dan Perancis. Beberapa diplomat berkata undi untuk resolusi Rusia mungkin akan menjadi sengit dan boleh memaksa undi veto oleh Amerika Syarikat.

Majlis Keselamatan PBB buntu mengenai konflik Israel-Palestin, di mana diplomat PBB mengatakan ia disebabkan keazaman Amerika Syarikat untuk melindungi sekutu rapat, Israel. Majlis mengadakan mesyuarat tergempar Rabu lalu untuk membincangkan serangan Israel ke atas Gaza, tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Erdoğan berkata dia benar-benar telah hilang kepercayaan dalam Majlis Keselamatan PBB. "Di manakah keadilan?" tanya Erdoğan secara retorik. (todayszaman.com)

harkah/-

Tiada ulasan: