09 November 2012

Gempa ragut 48 nyawa

24 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

SAN MARCOS (Guatemala): Satu gempa bumi berukuran 7.4 magnitud melanda barat daya negara ini semalam, membunuh 48 orang dan mencederakan 150 yang lain, sementara ramai lagi yang masih hilang di dalam runtuhan puluhan kediaman.

Gempa bumi itu turut menggegarkan negara jiran Mexico dan El Salvador, mencetuskan amaran tsunami di pantai Salvador dan perpindahan keluar dari pejabat, kediaman dan sekolah hingga sejauh ke utara di bandar raya Mexico. 

“Kami meratapi kematian 48 penduduk, angka yang mungkin akan bertambah kerana masih ada 23 orang lagi yang masih hilang,” kata Presiden Otto Perez di ibu negara Guatemala selepas melawat kawasan bencana. Sebelum itu dia melaporkan angka kematian pada 39 orang.

Di Kampung San Cristobal Cucho, sebuah keluarga seramai 10 orang mati apabila kediaman mereka tertimbus dalam timbunan batu dan tanah yang runtuh dari sebuah bukit selepas gempa, kata datuk bandar Pedro Cardona.

“Keseluruhan kampung masih berkabung kerana seluruh keluarga terkorban akibat bencana daripada Tuhan,” katanya dalam televisyen tempatan. Mayat sepasang suami isteri dan enam anak mereka berusia empat hingga 15 tahun bergelimpangan di jalan raya hingga ke waktu malam menunggu untuk diuruskan petugas. Seramai 16,000 orang terjejas akibat gempa itu. Beberapa bandar kekurangan air minum atau bekalan elektrik ekoran kejadian gempa paling kuat di negara itu sejak 1976 apabila hampir 23,000 maut. - AFP

Tiada ulasan: