08 November 2012

PBB gesa Myanmar lindungi umat Islam

23 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


MYANMAR: Penyiasat Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyeru memberi amaran kepada Myanmar supaya tidak menggunakan konflik di sana sebagai alasan untuk menghapuskan minoriti umat Islam Rohingya.

Ini berikutan, kira-kira 89 orang telah terbunuh dalam pertempuran antara penganut Buddha Rakhines dan umat Islam  Rohingya di barat Myanmar sejak 10 hari, menurut angka rasmi terkini.

"Keadaan ini tidak harus menjadi peluang untuk selama-lamanya menghapuskan komuniti yang tidak disenangi," kata satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Tomas Ojea Quintana, pelapor khas PBB mengenai Myanmar, dan pakar-pakar bebas mengenai isu minoriti dan pelarian.

Mereka menyuarakan "kebimbangan mendalam tentang dakwaan kerajaan dan pihak-pihak lain bahawa Rohingya adalah pendatang haram dan bangsa tanpa kerakyatan".

"Jika negara mahu berjaya dalam proses peralihan demokratik, ia mesti berani dalam menangani cabaran hak asasi manusia yang wujud," ujar Ojea Quintana.

"Dalam kes negeri Rakhine, ia melibatkan endemik diskriminasi yang telah lama terhadap masyarakat Rohingya yang wujud dalam kerajaan tempatan dan nasional serta masyarakat pada umumnya."

Rohingya mengatakan rumah mereka telah dibakar oleh puak Buddha Rakhines yang  bersenjatakan lastik, tongkat kayu, pisau dan petrol.

PBB berkata, lebih daripada 97 peratus daripada 28,108 orang yang telah melarikan diri dari keganasan tersebut adalah umat Islam Rohingya.

Ramai antara mereka kini tinggal di kem, menyertai 75,000 pelarian lain yang kebanyakannya bangsa Rohingya selepas keganasan Jun lalu yang membunuh sekurang-kurangnya 80 orang.

(Pelarian yang menggunakan perahu untuk lari pohon dikasihani)

Puak Buddha dan umat Islam yang ketakutan mula melengkapkan diri mereka dengan senjata buatan sendiri, menguji pihak kerajaan yang berazam untuk menghalang gelombang keganasan yang baru.

Rita Izsak, pakar bebas mengenai isu minoriti, berkata Rohingya merupakan minoriti yang mesti dilindungi mengikut standard hak minoriti antarabangsa.

"Kerajaan mesti mengambil langkah-langkah untuk mengkaji semula undang-undang dan prosedur yang berkaitan untuk menyediakan akses yang sama kepada masyarakat Rohingya untuk kewarganegaraan dan menggalakkan dialog dan perdamaian antara masyarakat," katanya.

Agensi pelarian PBB telah menggesa pihak berkuasa untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman untuk mengelakkan pertumpahan darah dan pemindahan lebih lanjut.
Dianggarkan 6,000 orang terkandas di dalam bot atau di pulau kecil di sepanjang pantai barat Myanmar, lapor agensi berkenaan Selasa lalu.

"Kami merayu kepada negara-negara jiran, terutamanya Bangladesh, untuk memastikan sempadan kekal terbuka. Ia adalah penting supya mereka mempunyai akses ke tempat yang selamat," jurucakap UNHCR Adrian Edwards berucap ketika taklimat berita Selasa lalu.

harakah/-

Tiada ulasan: