04 November 2012

Tanah runtuh, 150 penghuni kuarters polis gombak pindah

18 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Kira-kira 150 penghuni Blok F1 kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak terpaksa berpindah selepas berlaku kejadian tanah runtuh malam tadi. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata kejadian berlaku pada kira-kira 6 petang dan siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati runtuhan pada jarak kira-kira dua meter dari bangunan itu berada pada tahap kritikal. Beliau berkata kejadian yang berlaku ketika hujan lebat itu turut mengakibatkan tiga kereta rosak selepas dihempap batu dari tembok penghadang yang runtuh. "Semua penghuni diarahkan berpindah kerana ada pergerakan bawah tanah menyebabkan bangunan itu tidak selamat untuk didiami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. Rosly berkata mereka kini ditempatkan di dewan blok bersebelahan kuarters polis itu. Seorang penghuni, Hasmani Ismail, 45, berkata ini adalah kejadian pertama sejak beliau tinggal di kuarters itu enam tahun lepas. "Semasa kejadian, saya bersama suami dan dua anak berada di dalam rumah, dan tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti kemalangan, disusuli bunyi penggera kenderaan secara bertalu-talu. "Selepas melihat keadaan di luar rumah, saya dapati tembok berhampiran rumah kami runtuh dan terdapat tanah serta batu menghempap tiga buah kereta hingga terkambus," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: