20 November 2012

Umno pun tak berdoa supaya PAS kuat

6 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan tampil membalas mainan media terhadap isu doa kehancuran Umno BN di Himpunan Kebangkitan Rakyat sempena Muktamar Pas ke-58, Jumaat lalu.

“Isu doa tak perlu jadi polemik. Kita harus beza doa kepada manusia dengan badan atau negara. Doa agar Umno tumbang, lemah dan lain-lain tidak bercanggah dengan syarak,” tegas Tuan Ibrahim dalam satu tulisan di Facebooknya.

Tuan Ibrahim juga menyindir apakah orang mengharapkan PAS nak doa agar Umno menjadi kuat.

“Takkan PAS nak doa agar Umno kuat, Umno pun tak doa PAS agar kuat,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Apapun, kata Tuan Ibrahim, PAS sentiasa mendoakan ahli Umno dan lainnya agar semua diberi petunjuk dan hidayah.

“Kita mencontohi Rasulullah bila mana Baginda mendoakan hidayah kepada kaum yang tidak mengetahuinya,” kata beliau.

Sementara itu, Nasrudin berkata doa itu hadir dari hati sanubari masyarakat yang tertindas sejak sekian lama.

“Hak mereka dinafi, sebahagian di tukar tempat kerja jauh ke pendalaman, terdapat yang dipenjara dibawah akta ISA, malah ada pemimpin yang dibunuh mati seperti peristiwa Memali dan Lubuk Merbau.

“Hasil negeri mereka turut dinafikan apabila royalti dihalang. Semuanya Umno dan BN bertanggungjawab,” kata beliau dalam satu tulisan di Facebook.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata terdahulu doa ini telah dimakbulkan apabila Umno telah hancur dan musnah dan kini digantikan dengan Umno Baru.

“Semoga Umno dan BN hancur dan binasa lagi, sementara kami menggamit dan melambai kepada semua ahli-ahli Umno dan BN supaya meninggalkan "kapal" yang hampir karam itu untuk menyelamatkan diri dengan menyertai PAS dan PR.

“Usah bimbang pada doa itu. Doa tersebut supaya kapal Umno karam, sementara kami telah menyediakan platform dan dermaga yang utuh untuk menyelamatkan ahli-ahli Umno dari kapal yang semakin dimasuki air dan bakal tenggelam itu,” kata beliau.

harakah/-

Tiada ulasan: