19 Disember 2012

Erdoğan akan temui Obama bincang hubungan dua hala

5 Safar 1433H. [MOD] -


Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdoğan merancang untuk bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama ketika lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada tahun hadapan, lapor sumber rasmi Turki.

Bercakap dengan syarat namanya tidak disiarkan, pegawai kerajaan tersebut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan telah dibincangkan semasa perbualan telefon terakhir antara kedua-dua pemimpin ketika Erdoğan mengucapkan tahniah kepada Obama di atas pelantikan semula beliau sebagai presiden untuk penggal kedua.

Walau bagaimanapun, pegawai kerajaan tersebut menyatakan jadual untuk mesyuarat itu masih belum ditentukan, dan menambah bahawa isu-isu serantau serta hubungan dua hala akan menjadi agenda terpenting perbincangan berkenaan.

Sementara itu, laporan-laporan Turki menyatakan Selasa lalu bahawa mesyuarat Erdoğan dengan Obama di Rumah Putih akan diadakan pada bulan Februari dan akan memberi tumpuan kepada masalah Turki menghadapi isu keganasan.

Erdoğan dijangka akan meminta sokongan Presiden untuk projek kerajaan baru untuk menghapuskan keganasan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang melanda Turki, yang secara rasmi dipanggil Perpaduan Kebangsaan dan Projek Persaudaraan.

Lewat September lalu, Erdoğan membatalkan perjalanan yang dirancang ke Amerika Syarikat di mana beliau dijadualkan menghadiri Perhimpunan Agung PBB yang turut membincangkan isu krisis di Syria.

Pada masa tersebut, Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) menyatakan bahawa Perdana Menteri telah membatalkan perjalanan beliau kerana kongres parti yang dijadualkan pada 30 September, dan kerana jadual kerja yang padat.

Walau bagaimanapun, terdapat spekulasi bahawa antara faktor Erdoğan enggan meninggalkan Turki adalah kerana pertambahan serangan PKK yang mengakibatkan puluhan anggota polis dan tentera Turki telah terbunuh dalam serangan PKK. (todayszaman.com)

harakah/-

Tiada ulasan: