26 Disember 2012

Pelajar harapan mati mengejut

12 Safar 1433H. [MOD] -


Pelajar harapan mati mengejut
Mayat mangsa dimandikan dan dikafankan di Hospital Tampin sebelum dibawa pulang untuk urusan pengebumian.
Muhammad Hazwan Anwar Abdul Padzil
Muhammad Hazwan Anwar Abdul Padzil
 
REMBAU - “Bukan kami sekeluarga sahaja yang merasa kehilangan anak keempat kami, tetapi pihak sekolah juga sama kerana arwah merupakan pelajar harapan sekolah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun ini."

Demikian luah ibu kepada Muhammad Hazwan Anwar Abdul Padzil, 19, yang mati mengejut di rumahnya, Hairuslina Abdul Rahman, 51, ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengah hari kelmarin, Hairuslina yang ingin mengejutkan Hazwan terkejut apabila melihat anaknya tidak sedarkan diri sedangkan mereka baru sahaja berbual bersama kira-kira setengah jam sebelum kejadian di kediaman mereka di Kampung Seberang Batu Hampar, dekat sini.

Hairuslina berkata, anaknya itu seorang yang manja dan mereka sempat berbual mesra sambil menonton televisyen sebelum arwah memintanya memasakkan hidangan sambal kepadanya untuk makan tengah hari.

“Oleh kerana kami baru sahaja pulang dari Kedah selepas menghantar anak kedua saya kahwin, arwah berharap saya dapat memasakkan makanan kegemarannya. Sebelum ini, arwah rajin membantu saya memasak, malah selalu menyediakan sarapan pagi buat kami sekeluarga.

“Jadi saya baru hendak memintanya menolong saya mesinkan cili dan terkejut melihat keadaannya serta memanggil ambulans bagi tindakan

selanjutnya. Bagaimanapun, pihak kesihatan memaklumkan anak saya sudah pun meninggal dunia sebaik membuat pemeriksaan,” katanya, semalam.

Hazwan baru sahaja selesai menduduki peperiksaan STPM seminggu lalu dan mendapat keputusan gred purata mata pelajaran, 3.75 dalam percubaan STPM lalu.

Menurutnya, sememangnya anaknya itu berhasrat mendapat keputusan cemerlang dalam STPM susulan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum ini tidak begitu baik berbanding diharapkan.

“Oleh itu, dia memang ingin membanggakan kami sekeluarga dan sudah menunjukkan kecemerlangannya dalam keputusan percubaan STPM lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Mizan Md Dom ketika dihubungi berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai kes berkenaan dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat mangsa dihantar ke HT untuk proses bedah siasat dan hasilnya didapati ianya disebabkan paru-paru berair.

metro/-

Tiada ulasan: