31 Januari 2013

Dadah jadi kurma

Dadah jadi kurma19 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Noor Rashid (dua, kanan) menunjukkan heroin berbentuk kurma yang dirampas selepas polis menahan 11 individu, Sabtu lalu.
 
KUALA LUMPUR – Sekali pandang bentuknya sama seperti kurma tetapi sebenarnya ia merupakan dadah jenis heroin yang dibentuk menyerupai buah tersebut.

Dadah bernilai hampir RM3.2 juta itu diseludup masuk melalui Pelabuhan Klang  sebulan yang  lalu.

Pemeriksaan imbasan di pelabuhan juga memaparkan imej buah tersebut, sama seperti yang diikrar pada borang kastam.

Bagaimanapun taktik sindiket penyeludupan antarabangsa itu dapat dihidu polis selepas lebih 80 kilogaram ‘buah’ tersebut dirampas, Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, sindiket itu dapat dikesan dan disekat  melalui kerjasama dengan pihak kastam Pakistan.

Beliau berkata, serbuan dilakukan di beberapa rumah teres dan kondominium di sekitar Subang Jaya, Damansara dan Puchong.

Katanya, dalam serbuan bermula kira-kira jam 1.30 pagi itu, polis menahan lapan lelaki warga Nigeria dan tiga termasuk seorang lelaki warga Mongolia.

“Siasatan mendapati heroin  itu dibawa masuk dari Pakistan melalui jalan laut. Ia dimuatkan di dalam kotak bersama kurma asli.

“Dadah ini akan dipasarkan di sekitar Lembah Klang dan sebahagiannya akan dibawa ke luar negara,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Noor Rashid berkata, semua suspek berusia antara 21 dan 28 tahun itu merupakan pelajar dan bekas pelajar di beberapa buah kolej di ibu negara.

“Dua wanita warga Mongolia itu dipercayai akan menjadi keldai dadah,” katanya.

Beliau berkata, polis kini sedang menyiasat rangkaian sindiket dan mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan tersebut.

Semua suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

SINAR/-

Tiada ulasan: