31 Januari 2013

Kase desak henti operasi AES pada cuti perayaan

19 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) tetap dengan pendirian bahawa pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) perlu ditangguhkan serta merta kerana masih terdapat masalah teknikal dan kepincangan yang belum diselesaikan.

Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff yang dihubungi memberitahu, beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang mahu meneruskan operasi AES seperti biasa terutamanya menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Menurut beliau lagi, tindakan tersebut juga dilihat bercanggah dengan apa yang dinyatakan oleh Jabatan Peguam Negara (AG) yang telah membekukan prosiding atas alasan perundangan yang mana menjadi bukti jelas bahawa AES mempunyai masalah.

"Kami kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan yang terus berdegil untuk meneruskan sistem yang terbukti mempunyai kelemahan pada musim perayaan yang akan datang.

"Tindakan tersebut jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh AG yang meminta membekukan prosiding AES kerana terdapat masalah yang serius pelaksanaan AES dan perlu diselesaikan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Jelas beliau lagi, sebelum ini terdapat pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan menangguhkannya namun tiada sebarang respons diberikan.

"Ini jelas membuktikan kerajaan hanya mementingkan syarikat kroni dalam mengaut keuntungan tanpa mempedulikan suara rakyat yang terus terbeban dengan kos kehidupan sekarang ini.

"Saya melihat laungan kerajaan perihatin dan mendengar denyut nadi rakyat hanya satu retorik kosong, hakikatnya rakyat terus terbeban," sambung beliau lagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua 14 unit kamera AES akan terus beroperasi seperti biasa, terutamanya menjelang sambutan tahun Baru Cina.

Beliau juga turut memberitahu, kamera tersebut akan membantu program penguatkuasaan trafik oleh beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

harakah/-

Tiada ulasan: