30 Januari 2013

Imam maut bergesel lori pasir

18 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Imam maut bergesel lori pasir
Imam maut bergesel lori pasir
Imam maut bergesel lori pasir
Abdul Halim Tahir
WANG TEPUS - Seorang imam maut apabila motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah lori dari arah yang sama di Kampung Kota Mengkuang, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian, kira-kira jam 7.30 pagi itu, imam Masjid Wang Tepus, Abdul Halim Tahir, 63, menunggang motosikal sejenis Honda Wave dalam perjalanan untuk ke pejabat agama daerah Kubang Pasu sebelum bergesel dengan sebuah lori muatan pasir sehingga terbabas ke bahu jalan.

Saksi kejadian, Kaman Kasa, 43, berkata, sebelum kejadian dia yang mengekori lori itu mendapati pemandunya cuba memotong motosikal mangsa tetapi gagal apabila terdapat kenderaan datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kegagalan pemandu berkenaan memintas motosikal mangsa menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah.

"Pemandu lori itu juga cuba melarikan diri sebaik menyedari telah melanggar mangsa, tetapi saya sempat mengejar dan menahannya," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.

Sempat beri amanat terakhir

Kejadian kemalangan berkenaan, memberi kesan kepada anak mangsa, Naimah, 29, kerana kali terakhir dia bertemu dengan ayahnya adalah  pada Jumaat lalu.

Kata Naimah, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi hanya menghabiskan masa bersama cucu dan tidak banyak bercakap.

Jelasnya, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada penduduk memberitahu mengenai kemalangan itu kira-kira jam 8 pagi dan segera bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi nahas, saya dapati ayah sudah dihantar ke hospital," katanya.

Malangnya, mangsa gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, sebelum pemergiannya, ayah sempat berpesan kepada mereka adik beradik supaya menjaga diri dan ibu baik-baik.

“Kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga dan semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohnya serta di tempat dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Angkut pasir awal pagi

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Shafizan Taib, berkata, jalan raya Wang Tepus-Tanah Merah itu menjadi laluan utama operasi mengangkut pasir dari kuari berdekatan.

Menurutnya, mereka menjalankan operasi tersebut setiap hari dan bergerak pada awal pagi untuk menghantar muatan pasir ke tempat yang ditetapkan.

“Perkara itu mengundang masalah kepada penduduk malahan kejadian kemalangan sudah beberapa kali berlaku," katanya.

Shafizan berkata, pihaknya sudah meminta pemilik kuari dan pemandunya agar menjalankan operasi di luar waktu puncak tetapi mereka tidak mematuhinya.

“Walaupun penduduk sudah berbincang mengenai perkara itu dengan pemilik kuari tetapi mereka gagal memberikan kerjasama dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas,” katanya.

Terseret sejauh 20 meter

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Yusof berkata, mangsa yang menunggang motosikal dihimpit lori  itu sebelum terbabas dan menyebabkannya terseret hampir 20 meter.

Katanya, pemandu terbabit dipercayai cuba memotong mangsa dari arah yang sama dan kemungkinan disebabkan kawasan itu agak berbukit menyebabkan lori menjadi sedikit laju.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital kira-kira jam 11.50 pagi akibat cedera parah di  pinggang dan kepala.

“Pemandu yang berusia lewat 20-an itu pula direman untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: