30 Januari 2013

Kakitangan kerajaan dakwa rugi RM1,500 selepas mesin ATM gagal berfungsi

18 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

Kakitangan kerajaan dakwa rugi RM1,500 selepas mesin ATM gagal berfungsi
Mustafa Kamal menunjukkan laporan polis berhubung kejadian wang lesap dalam akaun simpannya, semalam
KUALA LIPIS - Seorang kakitangan kerajaan di sini mendakwa kerugian RM1,500 apabila wang yang disimpan dalam akaun sebuah bank lesap setelah mesin juruwang automatik (ATM) gagal berfungsi ketika dia mengeluarkan wang.

Mangsa, Mustafa Kamal Kamarudin, 51, berkata, kejadian berkenaan berlaku di sebuah bank di Raub pada 27 November tahun lalu kira-kira jam 11.45 malam apabila dia berhasrat untuk mengeluarkan sejumlah wang daripada akaun miliknya.

“Ketika itu, mesin ATM terbabit berfungsi seperti biasa namun setelah saya memasukkan jumlah pengeluaran, tiba-tiba perkhidmatan mesin terbabit tergendala.

“Kad ATM saya keluar seperti biasa namun wang tunai sejumlah RM1,500 bersama resit pengeluaran tidak dapat dikeluarkan. Saya mula bingung dan menanti untuk beberapa minit namun wang terbabit masih tidak dikeluarkan,” katanya semalam.

Mustafa Kamal berkata, pada keesokan harinya dia yang sedang dalam perjalanan ke Negeri Sembilan berhenti di sebuah bank di Bentong untuk mengeluarkan wang simpanan terkejut apabila melihat baki wang di dalam akaun hanya RM513 sahaja.

Menurutnya, selepas pulang dari Negeri Sembilan, dia kemudiannya membuat laporan kepada bank berkenaan kehilangan wang terbabit namun pihak bank meminta tempoh sebulan untuk melakukan siasatan.

“Minggu lalu saya terima laporan daripada bank dan dalam laporan itu tertera wang sejumlah RM1,500 dikeluarkan pada 27 November kira-kira jam 8.49 malam. Saya hairan kerana waktu di dalam laporan terbabit tidak sama dengan waktu saya mengeluarkan wang.

“Saya kemudian meminta kebenaran pihak bank melihat kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan saya tidak menerima wang berkenaan namun pihak bank minta saya buat laporan polis dahulu,” katanya.

Mustafa Kamal berkata, setelah membuat laporan polis, pihak bank kemudiannya membenarkan dia melihat CCTV berkenaan dan pegawai bank terbabit mengesahkan bahawa dia tidak menerima wang simpanan berjumlah RM1,500 itu.

“Saya kemudiannya menuntut pihak bank agar memulangkan kembali wang terbabit namun saya terkejut apabila pegawai bank berkenaan memberitahu bahawa tiada ganti rugi dalam kes seperti ini," katanya.

Dia melahirkan rasa kecewa kerana pihak bank terbabit seolah-olah lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku padanya.

sinar/-

Tiada ulasan: