15 Januari 2013

Johor perlu panggil Ustaz Hadi sebelum sekat bukunya

3 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pihak berwajib perlu mengikut prosedur tertentu sebelum mengambil sebarang tindakan untuk menghalang mana-mana penerbitan.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed (gambar), berkata antara prosedur yang perlu dipatuhi ialah memanggil pihak yang berkaitan untuk memberikan penjelasan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan Perkasa Johor bagi mengharamkan kemasukan semua buku 'Amanat Haji Hadi' di negeri itu.

"Kalau 'gentleman', panggil Tuan Guru Haji Hadi untuk beri penjelasan mengenai isu tersebut, baru adil," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata isu amanat itu sudah tidak menjadi isu di kalangan ahli PAS kerana ia perkara lama, namun sengaja diungkit pihak lain.

Katanya, mereka bercakap tentang perkara yang tidak ada, yang hanya untuk menambahkan kekeliruan di kalangan rakyat.

"Mereka mahu sekat, tak guna.  Mereka cakap benda yang tidak ada. Sengaja mahu timbulkan polemik," tegas beliau lagi.

Sebelum ini, pelbagai pihak dalam Umno mendesak agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memberikan penjelasan mengenai isu 'Amanat Haji Hadi' itu.

Ekoran itu, Tuan Guru Abdul Hadi meminta Umno memberikan masa satu jam siaran secara langsung dalam RTM 1 atau TV3 untuk memberikan penjelasan.

Namun ia ditolak oleh kerajaan BN.

Sehubungan itu, baru-baru ini beliau melancarkan kembali buku yang pernah ditulis oleh beliau pada tahun 2002 bertajuk 'Amanat Haji Hadi, Antara Fitnah dan Fakta' dengan pengemasan fakta terbaru.

Buku setebal 74 muka surat itu juga mengandungi fakta selain tajuk kecil di bawahnya yang menyebut Penghuraian dan Penjelasan Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang disusun oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi iaitu anak Presiden PAS itu.

harakahdaily-

Tiada ulasan: