24 Januari 2013

Kajian UM: Isu air tak banyak jejas Pakatan

12 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -


Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Prof Mohd Redzuan Othman berkata tinjauan yang dijalankan menunjukkan capaian Internet membolehkan penyebaran maklumat lebih baik terutama mengenai masalah bekalan air di Lembah Klang.

Katanya, kajian secara bersemuka dengan 1.409 responden itu dijalankan di antara 26 Disember hingga 11 Januari ketika masalah bekalan air itu memuncak di beberapa kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur.

Kawasan berkenaan tidak mendapat bekalan air selama lebih seminggu, sehinggalah ia pulih sepenuhnya awal bulan ini.

Krisis air berkenaan tidak banyak memberi kesan kepada pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor, katanya.

"Pada awalnya, mungkin ada orang yang salah mendapat maklumat bahawa krisis air Selangor itu disebabkan loji Langat 2 seperti dilaporkan dalam beberapa akhbar aliran utama.

"Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Selangor, dengan menggunakan media Internet, berjaya menunjukkan bahawa masalah sebenar melibatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS). Ini menyebabkan pengguna di Selangor yang mempunyai akses media Internet mengetahui masalah sebenar," katanya.

Mohd Redzuan ketika bercakap kepada pemberita menjelaskan, tinjauan itu dijalankan di semenanjung Malaysia dengan mengambil kira spektrum pengundi yang luas dari tiga kelompok kaum utama.

Beliau juga mendapati, kawasan luar bandar yang tidak mendapat akses Internet lebih cenderung menyokong BN.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: