25 Januari 2013

Pemuda PAS Kelantan terbit buku jawab 7 janji Najib

13 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -

KOTA BHARU: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) melalui Lajnah Penerangan telah menerbitkan satu buku bertajuk 'Al-Kisah 7 Janji Najib'.

Menurut Ketua Penerangan DPPNK, Ahmad Fadhli Shaari, buku setebal 50 mukasurat itu khusus bagi menjawab janji-janji yang telah ditaburkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu datang ke Kelantan 20 Januari lalu.

"Buku ini bakal menjawab semua persoalan di sebalik tujuh janji yang dikemukakan perdana menteri itu satu-persatu.

"Janji-janji seperti lebuhraya, pembinaan masjid terbesar, menyelesaikan masalah air dan sebagainya tidak lebih merupakan helah politik Najib untuk merampas Kelantan.

"Kesemuanya telah dijawab dengan fakta dan data yang dimuatkan di dalam buku ini," katanya.

Najib ketika 'kempennya' dalam program Jelajah Janji Ditepati di Kelantan baru-baru ini berjanji membawa tujuh projek besar ke negeri ini.

Antara janji itu termasuk untuk membina lebuhraya bagi menghubungkan kawasan Kuala Krai dan Kota Bharu di negeri itu yang tertangguh sejak Rancangan Malaysia ke-5 (1986-1990) sehingga hari ini.

Enam lagi projek termasuk pembinaan stadium baharu, masjid terbesar dan perumahan rakyat dengan peringkat permulaan melibatkan 3,000 unit, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, pembinaan kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan projek menyelesaikan masalah air.

"Janji-janji tersebut kononnya akan dilaksanakan sekiranya Umno berjaya merampas negeri Kelantan daripada PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Hakikatnya, tujuh janji itu hanyalah merupakan janji kosong yang tidak berpijak di bumi nyata.

"Bahkan Najib selaku Perdana Menteri Malaysia sudah boleh melaksanakan kesemua projek yang dijanjikan memandangkan kuasa yang dimiliki oleh kerajaan pusat pada hari ini," tegasnya.

Buku tersebut, mula diedarkan di kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu hari ini.

Kepada mana-mana pihak yang berminat boleh dapatkan di Kedai KITA, Bangunan Perhubungan PAS Negeri Kelantan atau melalui emel ahmadfadhli80@gmail.com.

Tiada ulasan: