19 Februari 2013

Air mata peragut

8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Seorang daripada dua peragut yang ditahan orang ramai dalam kejadian di Jalan Persiaran Kewajipan berhampiran sebuah pusat beli-belah di USJ 19 di sini, menangis teresak-esak sambil merayu agar dia dilepaskan.

Lelaki berusia 26 tahun itu cuba menagih simpati orang ramai dengan memberi alasan dia perlu menyara isteri dan seorang anak kecil berusia setahun.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari semalam, lelaki berkenaan bersama rakannya yang menaiki sebuah motosikal Yamaha 125Z meragut beg tangan pramugari warga Jepun dari arah belakang.

Bagaimanapun, malang bagi kedua-dua peragut berkenaan apabila motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dan melanggar kenderaan lain ketika cuba memecut.

Akibatnya, penunggang motosikal yang berusia 27 tahun cedera parah iaitu patah tangan kanan dan kaki kiri manakala pemboncengnya dilaporkan luka dan calar di bahagian lutut.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli, kedua-dua suspek diberkas orang awam selepas terdengar jeritan mangsa yang meminta tolong.

“Siasatan awal mendapati, suspek pertama iaitu penunggang motosikal berkenaan mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan satu rekod dikehendaki manakala rakannya pula tiada rekod jenayah tetapi positif ujian air kencing,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan polis ke atas motosikal suspek menemui parang pendek dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah samun dan ragut.

“Kedua-dua suspek berkenaan dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah ragut dan samun di daerah ini dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan lain,” katanya.

Katanya, beg tangan mangsa yang berisi RM700, telefon pintar dan dokumen perjalanan yang diragut dirampas semula.

Seorang daripada suspek yang cedera dirawat di Hospital Serdang manakala rakannya ditahan di lokap Balai Polis USJ untuk siasatan lanjut selepas dibenarkan hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

metro/-

Tiada ulasan: