19 Februari 2013

Berikan Hak Kerakyatan Kepada Penduduk Asal Sarawak

8 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Baru-baru ini rombongan PAS, PKR dan DAP bersama-sama dengan penduduk asal Sarawak telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Miri menuntut agar mereka diberi taraf kerakyatan yang sah sebagai warganegara Malaysia.

Rombongan PAS diwakili oleh Robby Tandang Ketua Pemuda PAS Sibuti, bersama dengan Dr Teo dari PKR dan YB Alan Ling dari DAP. Mereka telah berjumpa dengan pegawai JPN Miri ingin tahu masalah sebenar yang dihadapi oleh pribumi yang tidak boleh mempunyai kad pengenalan / MyKad. Menurut para pegawai tersebut semua keputusan bergantung dengan Kementerian Dalam Negeri, kerana mereka yang berkuasa untuk menerima atau menolak sesuatu permohonan.

Sebelum ini kami juga menerima banyak aduan dari penduduk asal di kawasan parlimen Sibuti yang mereka tidak memiliki kad pengenalan dan juga tidak memiliki surat beranak. Mereka sudah banyak kali mengadu masalah ini kepada pihak JPN di Miri tetapi sehingga kini tiada jawaban yang diberi mengapa mereka masih belum lagi dapat memiliki Mykad. Mereka juga kesal dengan sikap pihak JPN yang tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara Malaysia sedangkan mereka adalah penduduk asal bukannya pendatang asing.

Menurut mereka pemohonan ditolak dengan alasan mereka tidak memiliki dokumen yang lengkap serta tiada surat beranak walaupun ada diantara mereka ini sudah mendapat pengesahan dari Tuai Rumah yang mereka adalah penduduk asal di kawasan tempat mereka tinggal.

Disebabkan mereka tidak mempunyai kad pengenalan, mereka terus terpinggir dan nasib mereka lebih teruk dari pendatang tanpa izin. Mereka tidak mendapat bantuan kebajikan, BR1M dan bantuan persekolahan. Anak-anak mereka tidak dapat bersekolah dan melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat universiti akibat tiada kad pengenalan.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri. Ia bertanggungjawab dalam urusan mendaftar setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian. Di samping itu JPN juga bertanggungjawab dalam menentukan taraf kewarganegaraan dan seterusnya mengeluarkan dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak.
Sepatutnya JPN yang bertanggungjawab dalam urusan pendaftaran orang awam, turun padang berjumpa dengan rakyat tempatan yang masih belum memiliki kad pengenalan dan surat beranak terutama sekali penduduk tempatan yang tinggal jauh di pedalaman.

Ada beberapa sebab kenapa ramai penduduk asal Sarawak terlalu sukar untuk mendaftar dan memiliki surat beranak kerana faktor jalan penghubungan sukar ditembusi serta kos pengangkutan yang mahal terutama sekali yang tinggal jauh di pedalaman. Setelah sekian lama mereka menanti, mereka berharap pemohonan mereka untuk memiliki kad pengenalan mendapat pertimbangan yang sewajarnya dari pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri demi masa depan mereka dan anak cucu mereka.

Kami mengesa agar pihak Kementerian Dalam Negeri yang berkuasa dalam memberi dan  mengeluarkan dokumen identiti individu dalam bentuk kad pengenalan kepada penduduk asal Sarawak. Jangan biarkan penduduk asal Sarawak hak mereka diceroboh dan terus terpinggir dari arus pembangunan kerana mereka adalah penduduk asal yang sepatutnya diberi hak sebagai warganegara yang sah bukannya pendatang asing.

Kita mengesa agar pihak kerajaan jangan pilih bulu dalam mengatasi masalah rakyat ini.  Kita harap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera dan kerjasama dengan pihak yang berkenaan sangat dihargai.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: