25 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR:
BN melakukan cubaan terkini untuk meraih undi daripada masyarakat kaum
Tionghua dengan membawa artis popular Psy dari Korea ke Majlis Rumah
Terbuka BN Pulau Pinang pada 11 Februari ini.
“Begitu terdesak BN mahu mengembalikan populariti mereka yang jatuh
menjunam dengan melakukan apa sahaja hatta terpaksa mengimport artis
lain sebagai umpan tarikan mereka,” Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS
Malaysia, Riduan Mohd Nor.
Katanya, kos membawa artis Psy - yang popular dengan lagu Gangnam
Style dikatakan bernilai USD300,000 hingga USD400,000 (RM932,100 hingga
RM1,242,800) untuk persembahan ringkas dengan lagu yang dirakam dan juga
beberapa orang artis iringan.
Baginya, sekalipun BN menafikan program itu anjuran mereka dengan
mendalihkan syarikat swasta gergasi Mega Ultimate yang membayarnya,
rakyat tetap melihat ia merupakan suatu pembaziran.
Tambahnya lagi, apalah malang sebuah syarikat digunakan sebagai
proksi untuk membelanjakan duit sejumlah itu hanya untuk menghiburkan
rakyat.
“Daripada membawa seorang artis popular ke Malaysia dengan
persembahan hanya 1 malam, sebaiknya wang tersebut disalurkan kepada
pembangunan dan kebajikan rakyat di negara ini,” ujarnya.
Menurutnya, masih ramai rakyat di negara ini yang hidup di bawah
paras kemiskinan, justeru lebih baik pula syarikat tersebut melabur
kepada perniagaan lain yang mampu mengaut keuntungan berlipat kali
ganda.
“Membelanjakan RM1 juta bukan suatu nilai yang kecil untuk satu malam dan hanya untuk seorang artis popular,” katanya lagi.
harakah/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan