27 Februari 2013

Hadi: 'Firaun pernah bagi BR1M'

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Abdul Hadi Awang
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang
 
SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) sejak tahun lalu, bukan satu perkara baru kerana sejarah telah menunjukkan bahawa ia pernah dipelopori kerajaan Firaun.

"Cerita BR1M bukan cerita baru, sejak zaman Firaun pernah bagi BR1M, Firaun jadikan rakyat ringan akal (diperbodohkan).

"... tanggungjawab kita (pemimpin) untuk bijakkan rakyat bukan diajar menjadi pengemis, mereka (Umno) bukan nak bela rakyat pun,” kata beliau dalam ucapannya pada Konvensyen Pakatan Rakyat Keempat di sini semalam.

Kata Hadi, menerusi manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan semalam, banyak masalah rakyat yang gagal ditangani oleh BN sepanjang lima dekad lalu dapat diatasi.

“Buktikan dahulu kerajaan itu bersih, kita (Pas) perintah Kelantan lebih 20 tahun, walaupun banyak sekatan peruntukan, banyak cabaran tapi kita mampu bersabar.

“... jauh sekali untuk khianat hasil bumi negeri, malah mampu tadbir negeri dengan bersih dan bebas rausah serta salah guna kuasa,” kata beliau sambil memberi amaran kepada Umno-BN bahawa masalah penggangguran yang kian meningkat di negara ini tidak mungkin diselesaikan dengan pemberian insentif terbabit.

Hadi turut menyindir slogan perdana menteri yang dilaungkan ‘Janji Ditepati’ yang tidak bersungguh-sungguh kerana peluang yang diberikan kepada mereka sejak 50 tahun lalu tidak dimanfaatkan sepenuhnya demi rakyat.

“Janji akan ditepati bukan janji 50 tahun, kita tak nak rakyat dihina dan diperkudakan lagi, Buku Jingga selesaikan masalah yang ditinggalkan Kerajaan BN,” tegasnya.

Pada ucaptamanya, Hadi menggariskan lima dasar utama dalam Manifesto PR kali ini yang bertemakan “Pakatan Rakyat Harapan Rakyat”, antaranya perpaduan masyarakat majmuk, adil terhadap semua, demokrasi hak rakyat sebenar, kehebatan undang-undang yang adil dan kerajaan yang bersih.

harakah/-

Tiada ulasan: