27 Februari 2013

Masalah Jalanraya Di Luar Bandar Sarawak Masih Teruk

16 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Masalah jalanraya di luar bandar Sarawak masih lagi teruk walaupun
sudah banyak kali perkara ini dibangkitkan dalam sidang parlimen.
Peruntukan berjuta-juta ringgit sehingga mencecah berbillion ringgit
telah diperuntukan untuk jalanraya di luar bandar namun masalah
jalanraya di Sarawak masih belum dapat diatasi sepenuhnya.

Kita sudah sering kali mendengar ada wakil rakyat atau menteri
berjanji untuk mengatasi masalah ini tetapi sehingga kini tiada
sebarang perubahan berlaku, kalau ada pun hanya tampalan keatas jalan
yang sedia ada saja.

Mengapa perkara ini boleh berlaku? Dimana kesilapannya, adakah berlaku
ketirisan atau sebagainya? Perkara ini perlu disiasat sehingga ke akar
umbi untuk mengetahui siapa sebenarnya yang melakukan penyelewengan
keatas peruntukan yang berbilion ringgit tersebut.

Antara jalanraya yang menghadapi masalah teruk sehingga kini adalah
jalan ke Kampung Muhibbah, Ladang 3, KM 76 Jalan Lama Miri-Bintulu.
95% penduduk adalah bangsa Bugis, majoriti asal Indonesia dan mendapat
kewarganegaraan zaman Tun Rahman Yaakub. Mereka bekerja sebagai petani
dan juga bekerja dengan syarikat perladangan kelapa sawit.

Walaupun mereka ini penyokong kuat kerajaan BN (Barisan Nasional)
tetapi keadaan jalanraya di kampung mereka masih lagi teruk dan jauh
ketinggalan. Mereka seolah-olah masih lagi tinggal dalam keadaan 40
tahun yang lalu dengan keadaan jalan yang berlumpur, becak sewaktu
hujan dan keadaan jalan berlubang.

Sepatutnya dengan adanya peruntukan yang berbilion ringgit kawasan
luar bandar Sarawak mendapat jalanraya yang elok dan sesuai untuk
semua kenderaan tetapi malangnya walaupun sudah berpuluh tahun di
bawah kerajaan BN, keadaan jalanraya masih lagi teruk dan tidak
selamat untuk pengguna jalanraya.

Kita mengesa agar pihak kerajaan segera mengatasi masalah ini, jangan
hanya berjanji perkara yang sama setiap kali menjelang musim
pilihanraya tetapi apabila selesai pilihanraya perkara ini senyap
begitu saja tanpa sebarang tindakan diambil untuk mengatasinya.

Semoga kerjasama dengan pihak yang berkenaan dapat membantu
menyelesaikan masalah ini dari berlarutan.  Kebajikan rakyat perlu
diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

Tiada ulasan: