20 Februari 2013

Isu gondol bukit hanya sensasi menjelang PRU13

9 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, berkata pihak tertentu memainkan isu penggondolan bukit di Tanah Tinggi Lojing untuk disensasikan khususnya dalam media kerana kepentingan politik.

Menurutnya, menjelang PRU13 pelbagai fitnah ‘menjerut’ Kelantan mainan pihak lawan untuk kepentingan politik mereka, termasuk mencipta isu penggondolan bukit sama ada di Lojing atau di tempat penempatan Orang Asli.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung perkara itu sejak beberapa hari ini dalam media.

Beliau turut menjelaskan projek perhutanan di Lojing telah lama dibekukan.

“Malah lesen untuk membenarkan pengeluaran kayu di kawasan itu juga telah lama tidak dikeluarkan oleh kerajaan negeri.

“Yang digambarkan oleh media hanyalah lereng bukit untuk projek pertanian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pertemuan dengan masyarakat Orang Asli dari tiga daerah di JKR 10 yang diketuai Lui Siam, semalam. (Gambar atas)

Ahmad seterusnya berkata, walaupun ia isu lama yang telah selesai, namun pihak tidak bertanggungjawab menghidupkan semula isu itu menjelang PRU13.

Terdahulu ketika berucap pada pertemuan itu, beliau berkata kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 24,000 ekar tanah milik kerajaan untuk dirizabkan kepada Orang Asli di beberapa tempat khususnya dalam kawasan Parlimen Gua Musang.

Jelasnya, 606 ekar daripadanya telah berjaya dilaksanakan sejak tahun lalu di Pos Jedip.

“Seterusnya ia akan diteruskan di pos lain seperti Kuala Betis dan kita anggarkan di sini seluas 4,626 ekar,” ujarnya.

harakah/-

Tiada ulasan: