20 Februari 2013

Pakatan jamin salur bantuan penuh semua sekolah jenis kebangsaan

9 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



BANTING 20 FEB: Pakatan Rakyat jamin akan salurkan bantuan penuh untuk sekolah Tamil dan semua jenis sekolah kebangsaan bertujuan memartabatkan pendidikan dan bahasa kebangsaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar 1“Sudah 50 tahun negara tak ada duit untuk sekolah Tamil. Sekali-sekala dekat pilihan raya (BN) bagi RM30,000, bagi dana untuk sekolah, bagi BR1M (Bantuan Rakyat 
1Malaysia), tetapi di Selangor, bukan sebelum pilihan raya, malah selepas pilihan raya kita beri peruntukan RM4 juta setahun untuk sekolah Tamil,” katanya pada sambutan Pesta Ponggal di Dewan Sri Jugra, dekat sini, malam tadi.

Ketua Umum KEADILAN berkata, bantuan pendidikan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dan hak itu tidak patut dinafi kepada negeri ditadbir Pakatan.

“Setiap tahun kita (negeri Pakatan) beri peruntukan, ini negeri yang bagi, padahal peruntukan sekolah adalah dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, mereka yang patut beri,” kata Penasihat Ekonomi Negeri Selangor itu.

Anwar berkata, semua jenis sekolah kebangsaan layak menerima bantuan penuh dari kerajaan memerintah.
Katanya, ini memudahkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke mana-mana jenis sekolah hasil dari keseragaman pendidikan.

“Polisi kita (Pakatan) lain, ada dua, semua pelajar tak kira Melayu, Tamil, Cina mesti pandai cakap bahasa kebangsaan. Kedua, ibu bapa hantar anak ke sekolah Melayu ok, sekolah Cina ok, Tamil pun ok, tapi semua sekolah itu mesti menerima bantuan penuh,” katanya.
Banting“Oleh itu kita janji, semua sekolah akan menerima bantuan penuh tak ada lagi separuh-separuh mulai tahun ini apabila kita menang pilihan raya,” jelasnya disambut tepukan gemuruh kira-kira 1,000 masyarakat India.

Turut sama berucap, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Sebagai rekod, pada 1957, terdapat 888 sekolah Tamil di seluruh negara, tetapi sehingga 2011, jumlah sekolah tersebut hanya berbaki 523.  Dalam tempoh 54 tahun sejak merdeka, 365 sekolah Tamil hilang.
Daripada jumlah 523 itu, 372 sekolah merupakan sekolah bantuan modal dan hanya 151 yang ditanggung penuh oleh kerajaan.

Dalam kata lain, hanya 28.8 peratus daripada jumlah sekolah Tamil mendapat bantuan penuh daripada kerajaan, manakala baki 71.2 peratus masih dianaktirikan.

keadilandaily/-

Tiada ulasan: