18 Februari 2013

Jawapan penyelewengan selepas PRU 13 - Jen Hadi

7 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin angkatan tentera yakin, semua jawapan kepada penyelewengan yang berlaku dalam Angkatan Tentera akan diketahui selepas Pakatan Rakyat menang di Putrajaya nanti.

Sehubungan itu, bekas pemimpin Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Al-Khatab (gambar) mengajak rakyat negara ini membuat perubahan dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Beliau berkata demikian dalam ceramah bersama para pemimpin bekas tentera di Setiawangsa malam semalam.

Turut serta di majlis itu adalah bekas Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir,  Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid (Laut) dan Brig Jen (B) Datuk Najmi Ahmad (Kagat) serta Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Hadi yakin, semua rakyat ingin tahu apakah sebenarnya penyelewengan yang berlaku dalam angkatan tentera.

"Terlalu banyak penyelewengan yang berlaku dalam angkatan tentera, jika kita adakan siasatan sekarang pun, kita tidak akan dapat jawapannya.

"Kalau nakkan jawapan, PRU 13 kita dapat duduk di Putrajaya.

"Selagi tak dapat ke sana tak akan dapat jawapannnya," katanya dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

(Sebahagian orang ramai yang mengikuti ceramah berhampiran kem tentera ini)

Abdul Hadi juga berkata, beliau naik ke pentas Pakatan Rakyat bertujuan untuk meletakkan tentera di tempat yang sepatutnya.

"Kita nak letakkan tentera dan bekas tentera di tempat yang betul bukan diperlekehkan sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Umno dan BN hari ini," katanya.

Bagi beliau kerja ini perlu dilakukan oleh semua tentera dan bekas tentera sendiri.

"Kalau kita tidak dapat lakukan, tidak ada sesiapa lagi yang boleh lakukannya," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak samada tentera yang masih bertugas atau sudah bersara untuk memastikan kerja ini berjaya.

harakah/-

Tiada ulasan: