29 Mac 2013

3 bulan tidur bawah bangsal

17 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

3 bulan tidur bawah bangsal
Maidin (tengah) dan Mat Naian (kanan, dua) menerima sumbangan dari Tabung Kebajikan Felda yang disampaikan oleh Shahaniza (kiri, dua).
JENGKA 2 - Kepayahan sebuah keluarga peneroka yang terpaksa tinggal di bangsal setelah menjadi mangsa kebakaran 31 November lalu, berakhir apabila rumah yang ditunggu-tunggu sejak tiga bulan lalu siap dibina.

Dengan bantuan Felda sebanyak RM40,000 dan wang tambahan RM20,000 rumah baru tersedia untuk didiami Maidin Molok, 70, sekeluarga.

Maidin berkata, sejak kebakaran terbabit, mereka terpaksa tinggal dalam bangsal yang dibina di hadapan rumah sebagai penempatan sementara.

"Kami tinggal di bangsal kereta berdindingkan zink yang bercahayakan dua mentol. Apabila anak-anak balik, di situlah kami tidur beramai-ramai.

“Anak-anak juga turut membelikan dapur dan gas memasak selain membelikan televisyen kecil untuk kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika penyerahan bantuan daripada Tabung Kebajikan Felda sebanyak RM10,000 yang disampaikan Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin, kelmarin.

Turut hadir, Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Datuk Saari Din.

Maidin berkata, bantuan kewangan terbabit akan digunakan sebaik mungkin untuk membeli kelengkapan rumah yang musnah dalam kebakaran lalu.

“Saya amat berterima kasih kepada Felda atas sumbangan diberikan selain jiran tetangga yang banyak membantu kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, seorang lagi peneroka yang turut menjadi mangsa kebakaran, Mat Naian Disa, 67, turut menerima sumbangan sama.

Keluarga Mat Naian tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran yang berlaku selang dua minggu selepas kejadian menimpa Maidin dan mengalami kerugian sekitar RM150,000.

Kini, difahamkan, Mat Naian sekeluarga menetap di rumah seorang rakan di tanah rancangan sama sementara menunggu rumahnya yang hampir siap.

Isteri Mat Naian, Raja Esah Raja Baharuddin, 56, berkata, jiran tetangga banyak menghulurkan bantuan pakaian dan makanan dalam meringankan beban mereka sekeluarga.

“Saya amat terharu dengan pelbagai sumbangan yang diterima sama ada dari Adun, Felda mahupun jiran tetangga.

"Kami sekeluarga amat berterima kasih atas keprihatinan mereka membantu kami,” katanya

sinar/-

Tiada ulasan: