30 Mac 2013

Dua cedera ditembak secara rambang

18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Dua cedera ditembak secara rambang

Zainuddin bertanya khabar mangsa berusia 42 tahun yang mendapatkan rawatan di HSA.
JOHOR BAHRU - Dua lelaki cedera apabila terkena tembakan rambang seorang individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat hiburan di Jalan Damai, Taman Serene, di sini, 27 Mac lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu, mangsa berusia 42 tahun cedera di kaki kanan manakala seorang lagi berusia 51 tahun cedera di dada kiri selepas terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kejadian berlaku apabila suspek tiba-tiba muncul dan melepaskan lima das tembakan dalam premis berkenaan.

“Ketika kejadian terdapat lebih 10 pengunjung dalam premis terbabit. Tiba-tiba seorang lelaki memakai topi keledar penuh memasuki pusat hiburan itu dan melepaskan beberapa das tembakan secara rambang ke arah orang ramai sebelum melarikan diri.

“Susulan kejadian itu, dua lelaki cedera selepas terkena tembakan dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

“Mereka kini stabil dan seorang daripadanya sudah dibenarkan keluar,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa di Hospital Sulatan Aminah (HSA), di sini, semalam.

Zainuddin berkata, siasatan awal mendapati suspek menggunakan pistol semi automatik berdasarkan beberapa kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian oleh unit forensik.

“Polis kini sedang melakukan siasatan rapi termasuk menyiasat motif sebenar suspek melepaskan tembakan secara rambang hingga mengakibatkan dua mangsa tercedera.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang enggan dikenali berkata, dia sedang minum bersama rakannya sebelum terdengar bunyi tembakan dari arah pintu masuk premis terbabit ketika kejadian.

“Sebaik terdengar bunyi tembakan itu, saya cuba melarikan diri sebelum melihat kaki kanan saya dipenuhi darah mengakibatkan saya rebah, Saya sempat melihat orang ramai bertempiaran lari cuba menyelamatkan diri,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: