18 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) kini memasuki fasa berkampung di kawasan masing-masing bagi memastikan pengundi mengenali pemimpin dan calon mereka.
Kedua-duanya menegaskan mereka sudah lama mengadakan program mendekati rakyat dan bukannya hanya ketika pilihan raya sudah semakin hampir.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menegaskan rakyat sentiasa berpeluang menyertai program anjuran BN kerana parti itu kerap menganjurkan majlis ramah mesra bersama rakyat.
“Kita buat majlis sepanjang masa dan ada macam-macam program. Saya sendiri pun buat program setiap minggu di Pontian selama lima tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Ahmad Maslan juga yakin BN mampu menang 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kerana sokongan rakyat terhadap BN semakin kuat saban hari.
“Kita bukan takbur tapi kita yakin kita dapat menang dua pertiga. Saya dah pergi ke banyak tempat dan saya nampak sokongan terhadap BN semakin meningkat.
“Kami buat apa yang kami cakap dan tepati janji walaupun apa yang BN tunaikan tiada dalam manifesto parti,” jelas beliau.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menyifatkan PR akan terus mengadakan majlis bertemu rakyat sehingga pilihan raya berlangsung.
Menurutnya, program bersama rakyat dijalankan secara berterusan selepas pilihan raya bersedia 2008 dan bukan hanya secara berkala.
“Momentum sekarang semakin meningkat kerana sudah hampir dengan PRU13. Saya rasa lebih banyak majlis akan berlangsung selepas ini,” ujarnya.
Ketika ditanya persiapan PR menjelang PRU13, Mustafa berkata persiapan mereka sudah lengkap dan PR yakin dapat menewaskan BN.
“Rakyat sekarang mahu tengok perubahan. Saya yakin PR boleh mencapai kemenangan tetapi tidaklah sampai dua pertiga, mungkin majoriti mudah,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan