09 Mac 2013

Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

Ismail menunjukkan gambar anaknya, Intan Sahira yang hilang lima hari lalu dan salinan laporan polis dibuat di Balai Polis Jaya Gading, Kuantan semalam.
Hilang selepas teman lelaki jadi tunangan orang

Teh menunjukkan gambar Siti Mazira dan berharap anak gadisnya itu pulang ke pangkuan keluarga. Gambar kecil: Siti Mazira
KUANTAN – Seorang bapa dari Taman Mahkota, Batu 12, dekat sini merayu anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga selepas lima hari menghilangkan diri.

Ismail Samad, 51, juga pesara tentera, berkata, Intan Shahira, 21, keluar dari rumah ketika awal pagi selepas mengalami tekanan perasaan apabila mengetahui teman lelakinya sudah menjadi tunangan orang.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki dia melarikan diri daripada rumah memandangkan segala dokumen peribadi, beg duit dan telefon bimbit ada ditinggalkan di dalam biliknya walaupun pada mulanya agak pelik kerana pintu rumah dibiarkan terbuka begitu sahaja.

“Kami menyangka Intan Shahira hanya pergi berjoging pada waktu Subuh seperti mana selalu dilakukannya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui, semalam.

Ismail berkata, setelah beberapa jam dia mula mengesyaki sesuatu berlaku kepada anaknya apabila masih tidak pulang walhal waktu sepatutnya dia ke pejabat sudah berlalu.

“Beberapa hari sebelum kejadian, Intan Shahira mengetahui bekas kekasihnya sudah bertunang namun tiada tanda kekecewaan melampau dipamerkan.

“Dia ada menceritakan sedikit sebanyak kepada ahli keluarga namun dia reda memandangkan mungkin tiada jodoh." katanya.

Kata Ismail, tiada tanda pelik yang dilakukan anaknya biarpun raut wajahnya ada sedikit sedih dan tertekan namun Intan Shahira masih dapat mengawal diri sebelum hilang dari rumah antara jam 3.45 dan 5.50 pagi, 4 Mac lepas.

Tidak bawa pengenalan diri

Menurutnya, lebih membimbangkan Intan Shahira yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu tidak membawa sebarang pengenalan diri, telefon bimbit malah keluar rumah sehelai sepinggang.

“Memandangkan dia begitu sahaja, agar sukar kami menjejakinya malah pakaian apa yang dipakai juga tidak diketahui berikutan dia keluar rumah ketika ahli keluarga sedang tidur.

“Walaupun kami sudah terputus hubungan namun keluarga tetap mencarinya di kawasan berhampiran tidak mengira siang dan malam termasuk di Batu 11, Taman Tas dan Pandan Damai," katanya.

Katanya, dia turut meninjau di kawasan rumah kawan anaknya itu yang dikenali, namun harapan untuk menemui Intan Shahira hampa.

Ismail berkata, perhubungan Intan Shahira dengan bekas teman lelakinya itu direstui keluarga.

“Antara kami anak-beranak memang langsung tidak ada pertelingkahan dan dia juga berkelakuan seperti biasa, cuma ada sedikit rungutan yang rasanya tidak menjejaskan hubungan kami.

“Malah saya juga ada berbincang dengan pihak lelaki tersebut untuk bersetuju menyatukan mereka berdua sekiranya ada jodoh dan mengikut cara yang betul,  tetapi malangnya tidak sangka juga niat suci ini tidak kesampaian,” katanya.

Katanya, susulan daripada kejadian tersebut beliau mengesyaki anaknya mungkin tidak pulang ke rumah berikutan tidak boleh menerima kenyataan bahawa lelaki tersebut sudah bertunang dengan orang lain.

“Pemeriksaan pada telefon bimbitnya yang turut ditinggalkan mendapati panggilan terakhir yang diterima adalah daripada bekas teman lelakinya itu.

“Kami sekeluarga amat risau dengan kehilangannya dan telah buat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading pada 5 Mac lepas, kami  harap Intan Shahira dapat pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat," katanya.

Lebih menyedihkan kata Ismail, ibunya, Samsidar Sulaiman, 51, menghidap sakit buah pinggang dan sedang menjalani rawatan hemodialisis mula mengalami tekanan, tidak mahu bercakap kerana risau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya, Intan Shahira agar segera menghubungi Ismail menerusi talian 019-9121812 atau 014-8484264.

Tiga hari tidak pulang

Kebimbangan yang sama turut dirasai sepasang suami isteri dari Felda Lepar Hilir Tiga dekat sini kehilangan anak gadis mereka.

Mereka juga tidak menyangka sikap anak gadisnya yang mengurung diri di dalam bilik terjawab selepas anaknya keluar rumah seminggu selepas itu.

Lebih menyedihkan, anak keempat dari lima beradik itu disyaki keluarganya kini ada bersama seorang lelaki berusia 43 tahun yang pernah memberi khidmat rawatan tradisional kepada gadis itu lima bulan lalu.

Teh Darus, 56 berkata, anaknya, Siti Mazira, 21 memaklumkan ibunya, Siti Jaleha Saad, 57, bahawa dia keluar bersama rakan dikenal sebagai Ayu kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu.

Bagaimanapun, katanya, Ayu yang ditemui selepas itu memberitahu Siti Mazira tidak mahu ke rumahnya sebaliknya meminta rakan itu menghantarnya ke Lepar Hilir 1 untuk bertemu rakan lain.

Teh berkata, dia mengesyaki anaknya bertemu lelaki yang bernama Md Adam yang dikenali keluarga sebelum ini.

Berubat di gerai burger

Katanya, Siti Mazira dan Md Adam berkenalan beberapa bulan lalu ketika dia membantu kakaknya menjual burger di Kampung Selendang, Kuala Rompin.

“Siti Mazira ada beritahu saya dia diubati lelaki itu di kedai burger kakaknya. Md Adam kata anak saya sakit dan terus berubat di situ. Selepas itu mereka terus kenal,” katanya.

Menurutnya, sebaik pulang dari Kuala Rompin  dia menyedari anaknya mula mengalami kemurungan dan berkurung di dalam bilik pada 24 Februari selama seminggu sebelum keluar bersama Ayu.

“Saya cuba bertanya dan berubat tetapi keadaan tidak mengizinkan ketika itu dan tidak menyangka dia sudah keluar rumah,” katanya.

Sebagai bapa, dia berusaha berjumpa dan bertanya khabar semua rakan anaknya namun mereka juga tidak tahu lokasi Siti Mazira berada.

Teh juga mengakui pernah ke rumah Mohd Adam di Kampung Feri, Kuala Pontian sehari selepas Siti Mazira tidak pulang ke rumah dan isterinya memberitahu lelaki itu tiada di rumah.

“Mereka semua tidak pasti di mana Siti Mazira berada tetapi maklumat terakhir yang saya terima, dia berada di Mersing, Johor bersama seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Proton warna merah,” katanya.

Bimbang dengan kejadian itu dan demi keselamatan anaknya, Teh membuat laporan polis di Balai Polis Gambang Kuantansehari selepas Siti Mazira tidak pulang.

Menurut Teh, isterinya juga tidak lena tidur dan berharap anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

“Ketika keluar rumah pun, dia tiada sebarang masalah dengan keluarga malah tidak pernah bermasam muka. Dia juga memberitahu ibunya untuk keluar rumah.

“Dia hanya memakai jeans hitam, baju belang hijau dan hitam dan bertudung biru,” katanya.

Teh minta orang ramai supaya menghubunginya menerusi talian 0139179041 atau terus menghubungi balai polis di Kuantan jika mengenali Siti Mazira atau mendapat  sebarang maklumat.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: