09 Mac 2013

Sekolah di Semporna dibuka Isnin ini, Lahad Datu masih tunggu jaminan keselamatan

26 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kesemua 49 sekolah di daerah Semporna, membabitkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah yang ditutup sementara berikutan insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka sepenuhnya Isnin ini, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sabah, Jame Alip. 

Bagi lapan sekolah yang terbabit di Lahad Datu pula, Jame berkata keputusan sama ada membuka semula sekolah atau sebaliknya akan ditentukan hari ini selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pasukan keselamatan. 

Beliau berkata satu mesyuarat khas kumpulan kerja keselamatan negeri Sabah akan diadakan hari ini di Kota Kinabalu bagi mengetahui jaminan keselamatan di sekitar sekolah yang terbabit. 

"Hari ini kita akan dapatkan maklumat daripada pasukan keselamatan kerana semua sekolah terbabit terletak berhampiran kawasan gerakan ofensif terhadap kumpulan pengganas. 

"Jika pasukan keselamatan kata keadaan selamat, insya-Allah semua sekolah di Lahad Datu selain Semporna akan beroperasi seperti biasa Isnin ini," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, pagi ini. 

Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana. 

Selain itu Jame menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak-anak kembali ke sekolah dan tidak perlu khuatir kerana pasukan keselamatan akan memastikan keadaan terkawal sepenuhnya. - BERNAMA

Tiada ulasan: