12 Mac 2013

Muslimat Pas Terengganu hadiahkan polis bunga sempena Hari Wanita

29 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Muslimat Pas Terengganu hadiahkan polis bunga sempena Hari Wanita

Safinah (empat dari kanan) menyerahkan jambangan bunga mawar merah kepada Napisah sambil diperhati Superintendan Anuar Mohammad
KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat Pas Terengganu menyeru golongan wanita khususnya di negeri ini memperkasa peribadi dan juga ilmu dalam pelbagai aspek sebagai persiapan menghadapi cabaran mendatang yang lebih mencabar.
Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia, Ketuanya, Safinah Jusoh berkata, mereka juga perlu celik dalam semua segi termasuk undang-undang supaya tidak sewenang-wenangnya dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, masyarakat perlu menghormati peranan wanita dan meletakkan golongan tersebut di tempat sewajarnya sebagaimana Islam yang meletakkan wanita di tempat tertinggi.
“Wanita perlu memperkasa bidang agama dan juga perundangan termasuk undang-undang syarak supaya mereka tahu mengenai hak-hak sendiri bagi mengelak dianiaya pihak tertentu.
“Jika kita tengok ketika ini, banyak isu yang didedahkan di dada akhbar mengenai gangguan seksual dan juga perdagangan terhadap kanak-kanak serta wanita. Jadi, apabila wanita memperkasa dan membina diri lengkap dengan ilmu, sudah tentu mereka dihormati dalam masyarakat.
“Masyarakat juga perlu menghormati wanita sebagaimana Islam menghormati golongan tersebut sehinggakan ada surah ‘An-Nisak’ (wanita) dan ‘Maryam’ dalam al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bagi tujuan menghadiahkan bunga kepada kakitangan wanita sempena Hari Wanita Sedunia, di sini, semalam.
Program Muslimat Pas itu diadakan serentak di semua daerah di negeri ini dan turut dilaksanakan di peringkat Pusat pada 8 Mac lalu.
Pada majlis itu, Safinah menyerahkan sejambak bunga merah kepada Napisah Abdullah iaitu Setiausaha Ketua Jabatan Pengurusan IPK Terengganu, Superintendan Anuar Mohammad.
Safinah berkata, program itu membuktikan bahawa mereka sememangnya menghargai jasa dan pengorbanan polis yang berjuang mempertahankan kedaulatan negara.
Pada masa sama, beliau tidak menolak ia juga keprihatinan terhadap polis dan ahli keluarga mereka yang terkorban dalam pencerobohan di Sabah.
“Kita turut bersimpati dengan kesedihan ahli keluarga polis yang terkorban dan kita juga akan melawat keluarga polis di Kampung Kubang Ikan, Besut dan Kampung Jabi di Setiu,” katanya.
Sinar harian/-

Tiada ulasan: