06 Mac 2013

Seorang lagi penceroboh terbunuh

23 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



LAHAD DATU: Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar berkata seorang lagi anggota tentera kesultanan Sulu dipercayai terbunuh pagi ini dalam satu pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Ia berlaku sehari selepas tentera melancarkan serangan besar-besaran ke atas kampung itu termasuk menggunakan jet pejuang.

Katanya, pasukannnya terpaksa melepaskan tembakan apabila ditembak dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu.

“Saya difahamkan seorang musuh ditembak... Kami percaya dia terbunuh,” katanya Ismail dalam sidang media pagi ini bersama pemimpin angkatan tentera Malaysia.

Bagaimanapun pasukan keselamatan tidak mengeluarkan mayat tersebut atas sebab keselamatan, lapor Malaysiakini.

Ismail juga mengesahkan kumpulan penceroboh kini menyamar dengan berpakaian preman untuk melepaskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan.

Beliau menambah, pasukan tentera dan polis tidak mengalami kemalangan jiwa atau kecederaan dalam operasi bersama itu, sehingga hari ini.

Pasukan keselamatan bertindak ke atas militan Filipina di Kampung Tanduo tersebut dengan serangan udara selepas pertentangan lebih tiga minggu.

Ismail enggan mengesahkan jumlah musuh yang terbunuh dalam operasi berkenaan walaupun media hari ini melaporkan angka sehingga 30 orang.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: