21 April 2013

Angota tentera maut nahas jalan raya di Tawau

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


ALOR SETAR - Jenazah seorang anggota tentera yang maut akibat kemalangan jalan raya sewaktu bertugas di Tawau, Sabah semalam dibawa pulang ke kampungnya di Kodiang, malam ini.
    
Penerbangan yang membawa jenazah Lans Koperal Mohd Idris Ibrahim itu tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 9.15 malam.
  
Mohd Idris, 26, berkhidmat dengan Pasukan 7 Rejimen Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Kukusan, Tawau.
    
Jenazah Mohd Idris kemudian dibawa ke rumah keluarganya Kampung Pida 2, Jalan Sanglang, Kodiang sebelum dikebumi di Masjid Paya, Kampung Pida 1.
  
Turut hadir di lapangan terbang adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
 
BN menyumbang sebanyak RM10,000 yang diserah kepada kakak sulung Allahyarham, Rohaya Ibrahim, 31.
    
Ahmad Bashah berkata sumbangan itu diharap dapat meringankan sedikit beban keluarga Allahyarham.
    
Mohd Idris, anak keempat daripada enam beradik, disifatkan sebagai seorang yang amat ceria oleh kakaknya.
    
"Kali terakhir kami jumpa dia pada bulan April tahun lepas. Baru-baru ini pada Jumaat lepas, dia ada telefon dan menyatakan hasratnya untuk bertunang menjelang Aidilfitri nanti," katanya.
  
Pegawai yang mengiringi jenazah Mohd Idris dari Tawau iaitu Leftenan Mohd Elyas Mohd Shafie berkata kemalangan melibatkan Mohd Idris berlaku pada kira-kira 8.30 malam.
    
"Dia berseorangan ketika itu, setahu saya, dia dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux ketika baharu keluar dari Kem Kukusan, Tawau (menaiki motosikal)," katanya.  


- Bernama

Tiada ulasan: