21 April 2013

Jumlah kematian gempa di China meningkat 180 orang

10 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BEIJING - Angka kematian akibat gempa bumi kuat yang melanda barat daya Wilayah Sichuan China, meningkat kepada 180, dengan kira-kira 11,227 orang lagi cedera, kata Kementerian Hal Ehwal Awam China hari ini.
   
Kira-kira 24 orang lagi dilaporkan hilang, katanya.
   
Gempa bumi berukuran 7.0 itu menjejaskan lebih 1.5 juta penduduk di kawasan berkenaan, lapor agensi berita Xinhua memetik Kementerian Hal Ehwal Awam sebagai berkata.
   
Lapan bangunan runtuh dan kira-kira 400 bangunan rosak di kawasan perbandaran Chongqing, manakala 900 bangunan rosak di Wilayah Yunnan, katanya.
   
Sejumlah 1,097 gegaran susulan dilaporkan selepas gempa bumi itu, dengan tiga daripadanya dalam julat kekuatan 5.0 hingga 5.9.
 
Perdana Menteri China Li Keqiang tiba di zon terjejas di Sichuan tengah hari Sabtu dengan helikopter bagi meninjau sendiri kerja-kerja menyelamat.
   
Gempa bumi melanda Lushan di Ya'an City di wilayah itu pada 8.02 pagi (waktu yang sama di Malaysia, lapor Xinhua, memetik Pusat Rangkaian Gempa Bumi China.
 
Ya'an terkenal kerana ia merupakan kediaman panda.  - Bernama

Tiada ulasan: