10 April 2013

Lawas Perlu Sebuah Hospital Baru

29 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

LAWAS - Lawas adalah sebuah pekan kecil di utara Sarawak, dalam
Malaysia timur di pulau Borneo. Lawas, berdasar kepada lokasi
geografi, terputus dari seluruh rangkaian jalan raya di Sarawak. Ia
bagaimanapun dihubungkan dengan jalan utama ke Sabah dan daerah
Temburong Brunei. Perjalanan ke atau dari Lawas melalui jalan raya
perlu menjalani pemeriksaan imigresen. Perjalanan ke negara lain di
Sarawak memerlukan pasport. Dua lintasan sempadan jalan yang terletak
di daerah Lawas terpaksa menggunakan pasport.

Penduduk di Lawas terdiri daripada suku kaum Lunbawang, Kedayan,
Melayu Brunei, Murut Tagal dan Cina. Bahasa utama yang dituturkan
adalah Melayu Brunei, Kedayan, Lunbawang dan Hokkien.

Baru-baru kita ada buat lawatan di Daerah Lawas, isu utama yang sering
menjadi persoalan penduduk Lawas adalah hospital lama. Keadaan
hospital Lawas yang agak usang dan hanya dijaga oleh pembantu hospital
dimana tiada doktor sepenuh masa menjaga pesakit di situ.

Kalau ada kes-kes pesakit yang kritikal atau kronik, pihak hospital
Lawas terpaksa menghantar pesakit tersebut ke luar daerah seperti ke
hospital Miri atau Kota Kinabalu.

Disebabkan masalah urusan perjalanan yang memerlukan pasport maka
penduduk Lawas sukar untuk membawa pesakit melalui darat disebabkan
terpaksa melalui sempadan Brunei. Kalau melalui udara tambangnya mahal
dan sukar kerana penerbangan adalah terhad.

Masalah kadar bayaran pasport yang agak mahal perlu dikurangkan khas
untuk penduduk Lawas
yang terpaksa berulang alik keluar masuk melalui sempadan Brunei.
Kebanyakan penduduk di Lawas adalah terdiri daripada para nelayan,
petani dan juga bekerja dengan kerajaan dengan pendapatan sederhana,
untuk mereka yang mempunyai keluarga di luar daerah Lawas sudah tentu
sulit untuk keluar melawat keluarga atau pun apabila berlaku
kecemasan.

Kami juga dimaklumkan oleh salah seorang penduduk di Lawas yang
dikenali sebagai Haji Tuah, terdapat sebuah hospital baru yang disewa
di sebuah bangunan kedai sehingga kini masih belum beroperasi
sepenuhnya.  Walaupun sudah 2 tahun bangunan tersebut disewa oleh
pihak hospital tetapi ianya tidak dibuka kepada orang ramai lagi.
Adalah suatu pembaziran wang rakyat sekiranya hospital yang menyewa
bangunan tersebut tidak digunakan sepenuhnya.

Antara permintaan penduduk Lawas ialah kerajaan dapat membina sebuah
hospital yang lengkap dengan peralatan perubatan dan di tapak tetap
tanpa perlu untuk menyewa sebuah bangunan kedai.

Hospital Lawas perlu seorang atau lebih doktor pakar atau doktor
sepenuh masa untuk menjaga kesihatan penduduk di Lawas. Menurut
penduduk di Lawas nama saja hospital tetapi tiada seorang pun doktor
sepenuh masa yang menjaga hospital tersebut.

Mereka berharap apabila isu ini dibangkitkan, masalah hospital di
Lawas dapat diatasi dengan segera tanpa perlunya menunggu janji-janji
pilihanraya yang sering mereka dengar sebelum ini.

Sudah berpuluh-puluh tahun mereka menanti dengan penuh harapan, agar
dapat sebuah hospital baru tetapi sehingga kini masih belum menjadi
kenyataan.

Kita mengesa pihak kerajaaan segera membina sebuah hospital baru untuk
Lawas yang lebih canggih dan mampu menangani masalah pesakit yang
begitu ramai yang terpaksa dihantar keluar dari daerah Lawas.

Harap perkara ini mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak yang
berkenaan dan kerjasama dengan pihak kerajaan untuk mengatasi masalah
ini dari berpanjangan sangat hargai.

Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: