04 Mei 2013

Banner dipangkah cat merah

23 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Banner dipangkah cat merah

Zulkifli (kanan) bersama Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Masjid Tanah, Sunar Misran menunjukkan banner yang diconteng dengan cat merah.
MASJID TANAH - Pas Parlimen Masjid Tanah kesal tindakan pihak tidak bertanggungjawab menconteng sebahagian poster, bunting, banner dan billboard dengan memangkah muka calon parti di kawasan berkenaan serta mencemarinya dengan perkataan tidak elok.

Poster, bunting, banner dan billboard yang memaparkan calon Pas parlimen berkenaan, Mohd Nasaie Ismail termasuk tawaran Pakatan Rakyat (PR) diconteng dengan cat hitam dan merah di beberapa kawasan antaranya Persimpangan Tanjung
Lendu/Bidara, Persimpangan Kampung Pinang (Ayer Limau) dan persimpangan masuk ke Sekolah Kebangsaan Datuk Tambichik Karim.

Perkara itu disedari oleh beberapa ahli kira-kira jam 8.30 pagi, semalam sebelum memaklumkan Pengarah Keselamatan Pilihan Raya Pas kawasan perlimen itu, Adam Yusof, 63, yang kemudian membuat pemantauan dan pemeriksaan lalu membuat laporan polis.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Pas Masjid Tanah, Zulkifli Mat Tan berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan secara terancang oleh pihak tertentu berikutan pemilihan subjek di lokasi yang strategik iaitu tumpuan orang ramai.

“Pas Masjid Tanah meletakkan ketika kempen yang bersih dan tidak pernah mengamalkan provokasi malah melakukan tindakan mengikut lunas demokrasi seperti sifat terbuka ke atas suasana pilihan raya dengan mengadakan program debat contohnya.

“Saya percaya pengundi boleh menilainya dan saya seru kepada pengundi untuk menolak budaya politik tidak sihat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Zulkifli berkata, pihaknya bagaimanapun memohon supaya petugas PR kursusnya Pas yang terlibat sepanjang pilihan raya ini supaya menggerakkan jentera keselamatan secara maksimum untuk membuat kawalan kepada aset-aset parti dan bahan kempen.

“Kejadian ini tidak mustahil berulang lagi sebab kita merasakan sambutan rakyat kursusnya pengundi muda di luar jangkaan dan untuk membendung situasi ini ada pihak cuba melakukan provokasi.

“Petugas parti juga dinasihatkan supaya bertenang dan tidak membuat sebarang tindakan melanggar peraturan dengan membalas provokasi kepada pihak lawan kerana kita berpolitik secara profesional dan terbuka mengikut amalan demokrasi negara kita,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Hal Ehwal Awam, Asisten Superintendan, Nor Azlinda Nordin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan di Balai Polis Masjid Tanah jam 11.15 pagi semalam.
“Bagaimanapun kejadian seumpama ini tidak hanya melibatkan satu pihak parti malah terdapat kejadian di daerah Melaka Tengah membabitkan poster Perdana Menteri diconteng.” katanya.
Sinar/-

Tiada ulasan: