04 Mei 2013

Calon PR ikrar beri khidmat terbaik

23 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Guan Eng

Guan Eng bersama semua calon PR melafazkan ikrar.
GEORGETOWN - Seramai 40 calon Dun dan 13 Parlimen Pakatan Rakyat (PR) melafazkan ikrar di hadapan khalayak ramai serta disaksikan media tempatan dan luar negara menandakan kesemua calon itu akan berkhidmat untuk rakyat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pembacaan ikrar itu dihadiri oleh semua calon kecuali calon Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Dun Padang Lalang, Chong Eng.

“Dengan pembacaan ikrar ini, kita berharap rakyat akan menyokong kita sebagai satu pasukan yang bersih, cekap dan memilih orang Pulau Pinang untuk menjadi perdana menteri. Barisan PR yang akan bertanding semuanya berupaya untuk berkhidmat dengan baik kepada rakyat.

“Kita ada calon muda, lelaki dan wanita. Kita bagi peluang semua yang berkaliber. Saya percaya dengan barisan calon yang ada, jika diberi mandat untuk mentadbir negeri ini, kita akan menjadikan Pulau Pinang negeri yang bertaraf antarabangsa di Malaysia,” katanya ketika berucap selepas melafazkan ikrar di Padang Kota dekat sini, semalam.

Dalam ikrar itu, kesemua calon yang diketuai calon Dun Padang Kota, Chow Kon Yeow berjanji akan memartabatkan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri Pulau Pinang sebagai undang-undang tertinggi dan mempertahankan demokrasi negara untuk selamanya.

Guan Eng berkata, kesemua inti pati ikrar itu adalah susulan daripada manifesto PR yang diumumkan dua minggu lalu yang mana lafaz ikrar itu dibuat bagi menunjukkan PR sentiasa mengingati janji yang dibuat menerusi manifestonya.

“Kita akan memperkukuhkan pentadbiran CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) serta menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan memastikan kebebasan agama lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, kita juga memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan, jantina atau pangkat. Semestinya kita akan meneruskan sistem tender terbuka untuk membasmi kronisme dan rasuah,” katanya.
Sinar/-

Tiada ulasan: