Mustafa Ali

Mustafa Ali
SHAH ALAM - Pas akan menyertai perhimpunan secara besar-besaran yang dianjurkan kumpulan pro-pembangkang, Black 505 kerana ia dilakukan secara aman dan menuntut kepada perkara-perkara kebenaran.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas akan menyokong dan menyertai perhimpunan sedemikian kerana ia adalah medium untuk PR menyampaikan maklumat kepada rakyat.

"Tujuan perhimpunan tersebut sudah pasti mahukan rakyat sedar dengan apa yang telah dilakukan kerajaan BN selama ini.

"Pas akan turut serta kerana perhimpunan ini akan aman. apa sahaja perkara di luar kawalan itu bukanlah berpunca daripada pihak kita, sebaliknya pihak lain yang membuat provokasi," katanya.

Katanya, sehingga semalam, Pas masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perhimpunan berserta tarikh sebenar.

"Kami tidak mendengar apa-apa berita mengenainya (perhimpunan), tetapi kita menyatakan pandangan kita untuk turut serta dan menyokong sepenuhnya usaha ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, perkara itu belum sampai ke pengetahuan Dewan Pemuda namun tidak mustahil akan turut sama jika mendapat keizinan daripada Pas Pusat.

"Apa-apa pun, Pas Pusat akan bermesyuarat terlebih dahulu. Pemuda tidak boleh mengambil langkah sendirian.

"Perhimpunan itu nanti adalah langkah terbaik untuk kita berhadapan rakyat memandangkan sehingga ke hari ini, tuntutan kita tidak dilaksanakan kerajaan seperti akses media," katanya.

Jelasnya, perhimpunan itu nanti akan terus menuntut hak rakyat dan keadilan yang seharusnya diberikan kepada semua pihak termasuk PR.


harakahdaily/-