30 Mei 2013

Polis siasat ibu bayi jatuh dalam lubang tandas

18 Rejab 1434 H. [MOD] -

BEBERAPA anggota penyelamat dan doktor mengeluarkan bayi tersebut selepas dia terperangkap di dalam saluran paip kumbahan.- REUTERS


BEIJING - Seorang ibu berusia 22 tahun membuat pengakuan kepada polis bahawa bayinya terjatuh ke dalam paip saluran kumbahan tandas secara tidak sengaja selepas dia melahirkannya di dalam tandas di bandar Jinhua, wilayah Zhejiang, China.
Pendedahan itu dilaporkan media China selepas berita tentang bayi yang baru dilahirkan itu yang terperangkap di dalam saluran paip kumbahan mendapat liputan meluas di seluruh dunia semalam.
Menurut laporan akhbar Dushikuaibao, ibu bayi tersebut melahirkan anak itu di dalam tandas pada Sabtu lalu kerana dia tidak mempunyai wang untuk menggugurkannya.
Akhbar Zhezhong News melaporkan, ibu itu berkata, dia cuba untuk menarik bayinya itu selepas melahirkannya tetapi anaknya itu terjatuh ke dalam saluran paip kumbahan.
Ibu tersebut kemudian bertindak memberitahu tuan rumah bahawa terdapat bayi yang terperangkap di dalam saluran paip tersebut.
Bagaimanapun, ketika itu, dia tidak memberitahu kepada sesiapa bahawa bayi lelaki tersebut adalah anaknya.
Ibu bayi tersebut kemudian pergi bekerja selepas anaknya itu diselamatkan oleh anggota-anggota penyelamat.
Dia hanya membuat pengakuan bahawa bayi itu merupakan anaknya selepas dia disoal oleh polis selepas kejadian tersebut.
Polis menyoalnya selepas beberapa alat permainan bayi dan kertas tandas yang mempunyai tompokan darah ditemui di rumah sewanya.
Rumah sewanya itu terletak di dalam bangunan yang menempatkan tandas tersebut.
Menurut Zhezhong News, ibu bayi tersebut merupakan lulusan sekolah tinggi dan bekerja di sebuah restoran di bandar Jinhua.
Menurut ibu bayi itu, dia hamil selepas melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki.
Lelaki tersebut kemudian enggan bertanggungjawab terhadap anaknya itu.
Ibu bayi itu juga tidak memberitahu kehamilannya kepada keluarganya.
Menurut laporan media tempatan, ibu bayi berkenaan mahu membesarkan anaknya itu tetapi dia tidak mengetahui cara untuk melakukannya.
Bayi itu yang seberat 2.8 kilogram terperangkap di dalam saluran paip kumbahan yang mempunyai diameter 10 sentimeter.
Anggota-anggota penyelamat menggunakan gergaji untuk memecahkan saluran paip berbentuk L itu bersama dengan beberapa doktor di sebuah hospital untuk menyelamatkan bayi berkenaan.
Nasib bayi itu kemudian mendapat perhatian beberapa orang yang bersimpati dengannya.
Sejumlah orang datang membawa lampin, pakaian bayi, susu tepung ke hospital selain terdapat pelawat yang mahu mengambil bayi tersebut sebagai anak angkat.
Polis berkata, kes tersebut disiasat sebagai percubaan membunuh.
Bagaimanapun, setakat ini, masih tidak diketahui sama ada ibu bayi berkenaan akan berdepan dengan sebarang dakwaan.
Polis tempatan enggan memberikan komen tetapi menyatakan kes tersebut masih dalam siasatan.
Bayi itu diberi nama No.59 berdasarkan nombor inkubatornya di hospital tersebut. - Agensi



Tiada ulasan: