18 Julai 2013

Kenapa barang tidak cukup menjelang perayaan?

9 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, mempersoalkan bagaimana barangan keperluan sentiasa tidak mencukupi menjelang musim perayaan dan berulang setiap tahun.

Katanya, senario tersebut menimbulkan persoalan sama ada barangan keperluan itu benar-benar kurang ataupun disorok peniaga bagi membolehkan harga barangan tersebut dinaikkan.



"Memandangkan perkara ini sentiasa berulang, biarpun kepada barangan yang diberi subsidi oleh kerajaan, saya tidak pasti adakah kerana betul ia kurang atau disorokkan peniaga untuk mengaut keuntungan dengan kenaikan harga.



"Jadi, apakah langkah kerajaan bagi memastikan barangan subsidi itu mesti cukup ketika musim perayaan?" soal beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan, di Dewan Rakyat, hari ini.



Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, memberi jaminan perkara sedemikian tidak akan berulang dan menafikan para peniaga bertindak menyorokkan barangan keperluan menjelang musim perayaan.



Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan dewan bahawa pihak menteri telah berjumpa dengan pengeluar barangan keperluan seperti gula, minyak masak dan ayam bagi membincangkan perkara tersebut.



Katanya, selepas pertemuan itu, pihak menteri akan mengumumkan perkara tersebut pada Jumaat ini.



Semalam, Mahfuz mendesak kementerian terbabit menetapkan harga syiling bagi ayam, selewat-lewatnya Jumaat ini biarpun sebelum ini dimaklumkan ia hanya dapat dilakukan pada Ogos.
harakah/-

Tiada ulasan: