03 Julai 2013

Pergolakan Mesir ragut 16 nyawa

24 Syaaban 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 1 Julai - Ketua tentera Mesir hari ini memberi masa 48 jam kepada kerajaan Mesir pimpinan Presiden Mohammed Mursi untuk menjawab tuntutan rakyat atau pihak tentera akan menggunakan cara tersendiri untuk masa depan negara ini.

Jeneral Abdel Fateh al-Sisi dalam kenyataannya yang disiarkan melalui siaran televisyen tempatan berkata, tunjuk perasaan yang diadakan secara besar-besaran semalam mendesak Mursi meletakkan jawatan dan tuntutan tersebut tidak pernah berlaku yang dilakukan secara pungutan suara di negara ini.

Sementara itu, seramai 16 orang terkorban dan lebih 780 orang lagi cedera apabila tercetus pertempuran antara penentang Mursi dan penyokongnya dalam demonstrasi besar-besaran bagi mendesak beliau meletakkan jawatan, semalam.
Pertempuran itu berlaku selepas sejumlah penunjuk perasaan bertindak menyerang ibu pejabat Ikhwan Muslimin, yang merupakan pergerakan dipimpin Mursi, di Kaherah ketika demonstrasi utama diadakan di Dataran Tahrir di sini.

Seramai 12 orang maut dalam pertempuran, manakala empat lagi meninggal dunia akibat kecederaan, kata seorang pegawai Kementerian Kesihatan kepada saluran televisyen satelit swasta, hari ini.

Rakaman televisyen menunjukkan bangunan tersebut terbakar ketika berpuluh-puluh orang menyerang ibu pejabat Ikhwan Muslimin itu dengan membaling batu dan bom petrol.

Penyokong Ikhwan Muslimin pula melepaskan tembakan ke arah penyerang untuk mengundurkan mereka.
Kekecohan itu diburukkan lagi apabila empat menteri yang masing-masing memegang porfolio pelancongan, alam sekitar, komunikasi dan hal ehwal perundangan meletak jawatan hari ini.

Sebanyak lapan anggota Parlimen daripada kumpulan berfahaman sekular, turut meletakkan jawatan dalam Majlis Syura, Dewan Tinggi Parlimen Mesir, kelmarin.

Majlis Syura pula berkata, sekurang-kurangnya 22 anggota Parlimen telah meletakkan jawatan.
Pembangkang Mesir dikenali sebagai pergerakan Tamarod yang mengetuai demonstrasi itu memberi Mursi sehingga esok untuk berundur daripada jawatan tersebut.

Jika Presiden Mesir itu tidak berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, Tamarod yang bermaksud pemberontakan dalam bahasa Arab, mengancam meningkatkan kempen kekacauan dan huru-hara.

"Kami memberi Presiden Mohammed Mursi sehingga pukul 5 petang esok (11 malam waktu Malaysia 2 Julai) untuk meletakkan jawatan, bagi membenarkan institusi negara bersedia mengadakan pilihan raya presiden awal.

"Jika tidak, kempen huru-hara akan dilancarkan,'' jelas Tamarod dalam laman webnya.

Pemimpin agama dan institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di Mesir, Universiti al-Azhar kelmarin melahirkan kebimbangan dan memberi amaran bahawa perang saudara mungkin tercetus ekoran pertempuran antara penyokong dan penentang Mursi. - AFP


Tiada ulasan: