05 Julai 2013

Rakyat Malaysia Di Mesir Dinasihat Berhati-Hati, Tidak Siar Pandangan Di Laman Sosial - Kedutaan Malaysia

26 Syaaban 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah menasihatkan pelajar Malaysia supaya berhati-hati apabila menyiarkan pandangan mereka di rangkaian sosial berhubung keadaan di Mesir sementara menunggu kerajaan menyediakan rancangan pemindahan.
Wakil dari Kedutaan Malaysia di Mesir Shaiful Anuar Mohammad berkata terdapat dakwaan beberapa kumpulan pelajar antarabangsa telah mengisytiharkan sokongan mereka terhadap Presiden Mohammed Morsi, yang telah digulingkan oleh tentera Mesir, manakala yang lain menentangnya.
"Pelajar-pelajar mungkin boleh menjadi sasaran oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Kita mahu mengelakkan pelajar-pelajar kita daripada menjadi sasaran," katanya ketika dihubungi, Khamis.
Beliau berkata terdapat kira-kira 9,100 rakyat Malaysia di Mesir dan kebanyakan mereka adalah pelajar.
"Setakat ini, kami tidak menerima apa-apa laporan negatif daripada mereka," katanya.
Shaiful berkata beliau telah menasihatkan para pelajar supaya berada di rumah dan menangguhkan sebarang perjalanan di Mesir.
"Kami juga telah menasihatkan para pelajar untuk sentiasa berhubung dengan keluarga mereka bagi memberi gambaran sebenar keadaan semasa di sini (di Mesir)," kata beliau.
Dalam satu kenyataan, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah berkata pihaknya telah membuka bilik gerakan berikutan penyingkiran Presiden Mohamed Morsi.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata semua rakyat Malaysia di Mesir dilaporkan selamat.
"Rakyat Malaysia telah dinasihatkan untuk mengelakkan kawasan konflik iaitu Tahrir Square, Rabaa Square di bandar Nasr dan Al-Nahda Square di hadapan kampus utama Universiti Kaherah.
"Mereka yang tinggal di Mesir juga dinasihatkan supaya mengikut garis panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh kedutaan dan pihak berkuasa tempatan, dan mengurangkan pergerakan mereka," katanya, sambil menggesa mereka supaya berhubung rapat dengan kedutaan.
Anifah berkata Kementerian Luar bersama-sama dengan kedutaan di Kaherah sedang memantau perkembangan dengan teliti.
"Pegawai-pegawai di Kedutaan telah bekerja sepanjang masa untuk memastikan rakyat Malaysia di Mesir selamat," katanya.
Di Nilai, Negeri Sembilan, Ketua Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata pelan pemindahan telah digubal untuk rakyat Malaysia di Mesir jika keadaan di negara itu semakin buruk.
Mstar/-

Tiada ulasan: