23 Julai 2013

UPP Kedah Tahan Lelaki, Rampas Mercun Bernilai RM3,000

14 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam, ASP Shahidan Ladin (kanan) dan anggotanya menunjukkan pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM3,000 yang dirampas dalam satu sekatan di KM1.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Thailand ke Changlun di Bukit Kayu Hita,, kira-kira 4 petang Isnin. Pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dan kes disiasat Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan didenda sebanyak 10 kali nilai barangan dan tidak melebihi lebih 20 kali ganda nilai barangan atau kedua-duanya sekali. Foto BERNAMA


BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah menahan seorang lelaki berusia 38 tahun serta merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM3,000 yang cuba diseludup masuk ke negara ini pada Isnin.
Komander UPP Bukit Kayu Hitam, ASP Shahidan Ladin berkata, kira-kira pukul 4 petang Isnin, anggotanya menahan sebuah kereta jenis Proton Persona di Km 1.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah Changlun yang didapati mencurigakan.

Pemeriksaan ke atas kereta itu menemukan pelbagai jenis mercun dan bunga api berbahaya diletak di tempat duduk belakang dan bonet belakang serta ditutup dengan kain berwarna gelap.
"Modus operandi suspek menutup barangan terlarang itu dengan kain berwarna gelap bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan mengambil kesempatan masuk ke negara ini ketika trafik sibuk iaitu waktu kakitangan kerajaan balik kerja.
"Kita percaya mercun ini akan dihantar kepada seorang ejen di Pulau Pinang dan menjualnya pada harga tiga kali ganda nilai barangan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Selasa. - BERNAMA

Tiada ulasan: